KUALA LUMPUR – Wakil pasukan Liga Malaysia menganggap jumlah 12 kelab yang akan bertanding di pentas Liga Super tetap akan memberikan persaingan sengit bagi musim 2026-27.
Berbanding musim lalu dengan 13 pasukan bertanding, musim depan bakal menyaksikan sebanyak 12 kelab akan mempertaruhkan aksi bagi merebut kejuaraan Liga Super.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, meskipun musim ini ada pengurangan berbanding musim lalu, setidak-tidaknya ia sudah tentu akan melibatkan pasukan yang lebih berkualiti dan mengharapkan perjalanan liga yang lebih lancar musim depan.
“Saya rasa tiada beza pun, cuma ia (12 kelab bertanding) akan bantu juga untuk pengurangan kos dan sekurang-kurangnya kita akan dapat pasukan yang berkualiti kali ini.
“Jadi bagi saya, saya setuju dengan pihak Malaysian Football League (MFL) dengan 12 kelab bertanding sebab dengan keadaan ekonomi juga, sudah tentu kita pun tidak mahu imej yang tidak elok untuk liga ini”, jelasnya.
Perkara sama turut dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang percaya pasukan-pasukan yang ada ini lebih bersedia untuk mengharungi musim baharu nanti.
“Sudah tentu kita pun nak liga yang mempunyai saingan baik, kompetitif dan teratur. Saya rasa keputusan oleh MFL tentunya ini yang mereka rasa terbaik.
“Tapi kita kena tengok juga keadaan pasukan itu dan pastikan pasukan-pasukan yang nak bersaing dalam Liga Super ini bersedia dengan kualiti mereka baik di dalam padang dan di luar padang. Itu yang pasukan kena buktikan dan MFL juga perlu pastikan pasukan yang sertai Liga Malaysia ini bersedia untuk membawa saingan ini ke peringkat lebih tinggi”, jelasnya.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain pula tidak melihat kepada kuantiti kelab bertanding untuk menentukan saingan liga sebaliknya kualiti pasukan lebih memainkan peranan kali ini.
“Sebagaimana yang telah diberitahu oleh MFL bahawa musim depan akan ada 12 pasukan dan kalau boleh mestilah kita nak 12 pasukan itu yang kompetitif, yang mungkin selepas ini tiada isu gaji dan tiada isu yang boleh menyebabkan liga itu terbantut.
“Jadi untuk Terengganu dan saya percaya daripada 12 pasukan itu, kita boleh juga mengurangkan sedikit kos, perbelanjaan perlawanan di laman sendiri dan di tempat lawan. Walaupun tak banyak, tapi ada berkurang dan kita lebih fikir kualiti daripada kuantiti”, katanya.
Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan telah mengumumkan sebanyak 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-2027 yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Kelab yang telah mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
Manakala baki satu lagi slot akan diketahui pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas First Instance Body (FIB) akan bersidang dalam menentukan status PDRM FC. Kelab itu telah diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.
Keputusan FIB ke atas status PDRM FC ini juga akan turut diambil pertimbangan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026-2027.
Sekiranya PDRM FC gagal dalam penyerahan maklumat berkenaan, slot satu lagi pasukan Liga Super 2026-2027 bakal diisi kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC.
Kelantan Red Warrior FC yang menduduki tangga ke-4 Liga A1 musim lalu itu telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan serta dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (ke-6 Liga A1) dan Bunga Raya FC (ke-12 Liga A1) yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kuching City FC
