KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Dr. Nur Azmi Ahmad dipilih sebagai Presiden Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) bagi penggal 2026-2030.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung SEAKF yang berlangsung di Vietnam pada 6 Julai lalu, sekali gus menyaksikan beliau diberi mandat untuk menerajui badan induk karate Asia Tenggara bagi tempoh empat tahun akan datang.
Pelantikan tersebut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Nur Azmi dalam memajukan sukan karate di peringkat kebangsaan dan serantau.
Nur Azmi yang menerajui MAKAF sejak 2023 turut menganggotai Jawatankuasa Persekutuan Karate Asia (AKF) sejak 2021 serta aktif memperkukuh pembangunan karate di rantau Asia.
Pemilihannya dijangka memperkukuh kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara dalam aspek pembangunan atlet, kejurulatihan, pengadilan serta penganjuran kejohanan karate di peringkat serantau. – DETIK MALAYSIA
