KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Iran yang disifatkan berbaur ancaman dan ketenteraan membangkitkan kebimbangan mengenai kembalinya pendekatan diplomasi berasaskan ugutan berbanding rundingan bagi menyelesaikan konflik antarabangsa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pada saat dunia berdepan ketegangan geopolitik, setiap ucapan pemimpin mempunyai kesan besar kerana ia mampu meredakan krisis atau sebaliknya mencetuskan konflik yang lebih buruk.
Menurut beliau, retorik bermusuhan yang disertai amaran tindakan ketenteraan dan kenyataan bahawa AS akan “menyelesaikan tugas” sekiranya diplomasi gagal mencerminkan pendekatan yang mengutamakan paksaan berbanding dialog.
“Ini bukan bahasa keamanan, sebaliknya bahasa keangkuhan dan kecenderungan mengapi-apikan peperangan,” katanya.
Beliau berkata, Asia Barat telah sekian lama menjadi medan peperangan yang meninggalkan kesan mendalam susulan konflik di Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria.
Katanya, jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal, ratusan ribu terkorban, manakala banyak negara masih bergelut memulihkan keadaan akibat peperangan dan perubahan rejim yang berlaku.
“Komuniti antarabangsa tidak mampu berdepan satu lagi konflik yang tercetus akibat ancaman dan percaturan politik.
“Iran, walaupun mempunyai perbezaan dasar dan strategi serantau dengan negara lain, tetap sebuah negara berdaulat yang mempunyai kepentingan keselamatan dan hak mempertahankan kedaulatannya,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang pertikaian antara negara sepatutnya diselesaikan menerusi diplomasi, rundingan serta undang-undang antarabangsa, bukannya ancaman serangan ketenteraan.
Menurutnya, ancaman peperangan ketika dalam masa sama bercakap mengenai keamanan hanya menjejaskan kepercayaan dan mengurangkan peluang mencapai penyelesaian melalui dialog.
“Diplomasi tidak akan berjaya jika sentiasa dibayangi ultimatum. Rundingan juga sukar berkembang apabila satu pihak terus mengingatkan pihak lain mengenai kelebihan ketenteraannya,” katanya.
Mohd Azmi berkata, sejarah membuktikan keamanan yang berkekalan tidak dapat dicapai melalui kekuatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya memerlukan persetujuan politik, saling menghormati dan pengiktirafan terhadap kedaulatan sesebuah negara.
Beliau turut menyifatkan normalisasi retorik peperangan sebagai perkembangan yang membimbangkan kerana masyarakat akhirnya menjadi semakin lali terhadap penderitaan sebenar akibat konflik bersenjata.
“Setiap peluru berpandu yang dilancarkan membawa kesan kepada manusia. Setiap serangan ketenteraan meninggalkan balu, anak yatim serta trauma yang boleh berlarutan selama beberapa generasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dunia memerlukan kepimpinan yang mengutamakan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kesabaran strategik berbanding politik berasaskan kekuatan semata-mata.
“Komuniti antarabangsa perlu menolak politik ugutan dan terus mempertahankan prinsip diplomasi, undang-undang antarabangsa serta kewujudan bersama secara aman.
“Pilihan di hadapan kita jelas sama ada terus memilih jalan keangkuhan, konfrontasi dan konflik berpanjangan atau mengutamakan dialog, keadilan serta penyelesaian di meja rundingan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
