SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dipilih sebagai lokasi kesembilan Siri Jelajah Larian Obor SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung serentak dengan Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya (HTKSJ) Siri 2/2026 di Subang Parade, semalam.
Program tersebut disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi serta turut dihadiri Datuk Bandar MBSJ, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Ahli Majlis MBSJ, wakil agensi strategik dan komuniti setempat.
MBSJ dalam satu kenyataan berkata, pemilihan bandar raya itu sebagai lokasi kesembilan daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam siri jelajah tersebut membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong penganjuran SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026.
Menurutnya, seramai 1,000 peserta mengambil bahagian dalam larian obor sejauh 4.6 kilometer yang menghimpunkan atlet, agensi kerajaan, badan beruniform, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik dan masyarakat setempat.
“Penyertaan ini menjadi manifestasi semangat kesukanan, perpaduan dan sokongan rakyat menjelang penganjuran SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada Ogos ini.
“Buat julung kalinya, Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya Siri 2/2026 digabungkan dengan Larian Obor SUKMA Peringkat MBSJ, sekali gus memperlihatkan sinergi antara pembangunan sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian bandar,” katanya.
Menurut MBSJ, HTKSJ Siri 2/2026 berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti berteraskan gaya hidup sihat, rekreasi dan kelestarian bandar, termasuk senamrobik, bazar makanan, persembahan busking, pertandingan sukan dan aktiviti komuniti.
Pada majlis sama, MBSJ turut menyampaikan sumbangan Pasukan Angkat SUKMA kepada tiga pasukan angkat MBSJ iaitu sepak takraw, ping pong dan kabaddi yang ditetapkan oleh MSNS.
Setiap pasukan menerima sumbangan sebanyak RM20,000 bagi memperkukuh persiapan atlet menghadapi SUKMA XXII Selangor 2026.
“MBSJ kekal komited memperkasa pembangunan sukan, membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh kesejahteraan komuniti. Selaras aspirasi Subang Jaya sebagai Bandar Raya Rendah Karbon.
“Program ini turut menggalakkan penggunaan mobiliti mampan, meningkatkan kesedaran terhadap amalan kelestarian serta menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menyokong kontinjen Selangor menjelang SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MBSJ
