KUALA LUMPUR – Rakyat diseru supaya menilai sesuatu isu politik secara objektif berasaskan fakta, bukannya dipengaruhi ketaksuban terhadap parti atau pemimpin sehingga menjejaskan kematangan demokrasi negara.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, landskap politik negara kini dilihat semakin berubah apabila ruang awam dipenuhi kempen yang membina kesetiaan mutlak kepada parti dan pemimpin berbanding persaingan menawarkan dasar serta penyelesaian kepada masalah rakyat.
Menurutnya, perkembangan media sosial turut mempercepat penyebaran naratif yang mengukuhkan kelompok masing-masing sehingga ramai hanya menerima maklumat yang mengesahkan kepercayaan sendiri.
“Apabila fanatik mengatasi kebijaksanaan, kebenaran tidak lagi dinilai berdasarkan fakta. Sesuatu dianggap benar kerana datang daripada pihak sendiri, manakala yang datang daripada lawan terus ditolak walaupun mempunyai asas yang kukuh.
“Inilah bahaya politik yang berasaskan ketaksuban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat semakin berpecah kepada kelompok yang sukar berdialog apabila kritikan dianggap sebagai pengkhianatan, manakala perbezaan pandangan pula dilihat sebagai permusuhan.
Katanya, negara ketika ini sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, pembaharuan sistem pendidikan, usaha membanteras rasuah, memperkukuh perpaduan nasional serta menangani ancaman terhadap alam sekitar.
“Semua isu ini tidak akan selesai dengan slogan, sentimen atau kultus politik.
“Malaysia memerlukan politik yang mendidik rakyat berfikir secara kritis, menghormati fakta, mengalu-alukan perbezaan pandangan dan mengangkat integriti sebagai ukuran utama kepimpinan,” ujarnya.
Beliau berkata, prinsip syura dalam Islam juga mengajar bahawa keputusan terbaik lahir daripada perbincangan yang terbuka, hujah yang jujur dan kesediaan menerima teguran, manakala ketaksuban hanya membawa kerosakan kepada masyarakat.
Justeru, katanya, pilihan raya sewajarnya menjadi medan rakyat memilih dasar terbaik dan bukannya pertandingan membina penyokong paling fanatik.
“Kematangan demokrasi diukur bukan pada berapa banyak parti yang bertanding, tetapi sejauh mana rakyat mampu berfikir secara merdeka, menilai secara objektif dan berani meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.
“Sudah tiba masanya kita membina politik yang melahirkan warga yang berilmu, berakhlak dan berjiwa besar. Masa depan Malaysia bergantung kepada kematangan rakyatnya, bukan semata-mata kepada kemenangan mana-mana parti,” katanya. – DETIK MALAYSIA
