KUALA LUMPUR - Kejayaan skuad sepak takraw Malaysia merangkul pingat emas acara berpasukan lelaki bukan sekadar kemenangan teknikal di gelanggang, sebaliknya dianggap sebagai pertembungan jiwa, maruah dan sejarah yang akhirnya memihak kepada negara selepas penantian hampir 34 tahun.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, beliau telah menjangkakan kemenangan tersebut sejak awal perlawanan berdasarkan keazaman luar biasa yang ditampilkan pemain Malaysia.
“Ini bukan ramalan kosong. Ia jelas terpancar melalui persiapan pasukan, bahasa tubuh pemain dan keyakinan mereka sebaik sahaja wisel pertama dibunyikan,” katanya.
Menurut beliau yang merangkap Delegasi Teknikal Sukan SEA 2025, tekanan sejarah yang menghantui skuad negara tidak melemahkan pasukan, sebaliknya menjadi pemangkin kebangkitan untuk menamatkan kemarau panjang tanpa pingat emas dalam acara berkenaan.
“Keinginan untuk menamatkan penantian hampir 34 tahun itu membakar semangat pemain. Mereka membuktikan generasi hari ini mampu memikul amanah yang pernah terlepas daripada genggaman generasi terdahulu,” ujarnya.
AHK turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, bersama barisan kepimpinan dan pasukan pengurusan yang disifatkan bekerja tanpa henti di belakang tabir.
“Kepimpinan yang konsisten, jelas hala tuju serta berani membuat keputusan sukar menjadi sumber inspirasi langsung kepada pemain. Apabila pentadbiran bersatu, pemain akan bertarung dengan penuh keyakinan dan disiplin,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan tersebut membuktikan bahawa sepak takraw Malaysia masih memiliki DNA juara, bukan sahaja dari sudut fizikal dan taktikal, tetapi juga kekuatan mental serta semangat pengorbanan demi negara.
“Setiap rejaman, setiap blok dan setiap mata yang diperjuangkan mencerminkan semangat tidak mahu tewas yang menjadi identiti sebenar pasukan Malaysia,” jelasnya.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan sepak takraw negara dan menegaskan kejayaan itu bukan penamat, sebaliknya titik kebangkitan baharu untuk mengembalikan Malaysia ke puncak tertinggi arena sepak takraw.
“Kemenangan ini adalah asas kepada legasi masa depan. Teruskan melangkah dengan rendah hati, disiplin dan keberanian,” katanya. - DETIK MALAYSIA