SEREMBAN – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Program Road Tour Al-Aqsa, Gaza dan Palestin Negeri Sembilan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November ini.
Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan rakan strategik itu berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkembangan semasa di Palestin, penderitaan penduduk Gaza serta kedudukan Masjid Al-Aqsa.
MAPIM dalam kenyataan berkata, program berkenaan turut bertujuan menyemarakkan tanggungjawab masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin.
Menurut kenyataan itu, pelbagai pengisian disediakan bagi melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk ulama, pendidik, golongan profesional, belia, wanita, keluarga dan kanak-kanak.
“Antara pengisian utama ialah kuliah khas Al-Aqsa dan Palestin, pameran khas Palestin dan Gaza, program kanak-kanak Cinta Palestin serta forum solidariti bersama tokoh agama, aktivis kemanusiaan dan pakar.
“Turut dianjurkan Malam Amal Palestin, kempen solidariti dan sumbangan Gaza, program solat hajat dan munajat serta dialog belia berkaitan gerakan solidariti,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, program berkenaan turut merangkumi jelajah kesedaran dan mobilisasi masyarakat, pelancaran inisiatif solidariti Negeri Sembilan serta Sidang Khas Wanita Malaysia Bersama Palestin dan Gaza.
MAPIM menegaskan bahawa usaha membela Palestin memerlukan kesedaran mendalam, kesatuan tindakan serta komitmen berterusan daripada masyarakat.
Katanya, isu Palestin perlu terus diberikan perhatian khususnya dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa, menuntut penghentian penderitaan rakyat Gaza dan memastikan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka dihormati.
“Program ini diharapkan menjadi wadah menyatukan masyarakat Negeri Sembilan dalam gerakan solidariti lebih tersusun menerusi pendidikan, kesedaran, advokasi dan tindakan kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
MAPIM turut mengajak masyarakat untuk terus memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin menerusi pelbagai bentuk bantuan dan usaha kemanusiaan. – DETIK MALAYSIA
