KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenakan denda keseluruhan sebanyak AS$13,200 (RM53,610) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan beberapa kesalahan disiplin ketika berdepan Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/2027, 15 September lalu.
Denda itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC selepas juara Liga Super Malaysia itu didapati melakukan beberapa kesalahan sepanjang perlawanan peringkat liga berkenaan.
Kesalahan paling besar membabitkan salah laku pasukan apabila enam pemain JDT dilayangkan kad oleh pengadil dalam perlawanan tersebut.
Susulan kesalahan berulang kali keenam dalam tempoh ditetapkan, JDT dikenakan denda AS$9,450 (RM38,380).
Selain itu, kelab berkenaan turut didapati bersalah menyebabkan kelewatan selama dua minit bagi memulakan separuh masa kedua perlawanan.
Kesalahan berulang kali ketiga berkaitan peraturan kiraan masa itu menyaksikan JDT dikenakan denda tambahan AS$2,250 (RM9,140).
Ketua jurulatih JDT, Francisco Javier Munoz Llompart turut dikenakan tindakan apabila didapati gagal memastikan pemainnya menyelesaikan persiapan di bilik persalinan mengikut tempoh ditetapkan.
Pengendali dari Sepanyol itu dikenakan denda peribadi sebanyak AS$1,500 (RM6,090) berhubung kelewatan berkenaan.
Secara keseluruhan, JDT dan ketua jurulatihnya perlu menjelaskan semua denda berjumlah AS$13,200 (RM53,610) dalam tempoh 30 hari selepas keputusan berkenaan dimaklumkan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
