BUDAPEST – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez mencipta sejarah apabila meraih kemenangan Grand Prix ke-100 dalam kariernya selepas menjuarai Grand Prix Hungary di Litar Balaton Park, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan pelumba Ducati Lenovo Team tersebut muncul sebagai pelumba ketiga dalam sejarah perlumbaan motosikal mencapai angka keramat 100 kemenangan Grand Prix selepas legenda sukan permotoran, Giacomo Agostini dan Valentino Rossi.
Lebih manis, kemenangan tersebut turut melengkapkan hujung minggu sempurna buat Marquez selain menghadiahkan kemenangan MotoGP ke-100 buat Ducati.
Pelumba Sepanyol itu menamatkan perlumbaan di hadapan rakan senegaranya, Pedro Acosta yang mewakili KTM, manakala rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Perlumbaan bermula dengan insiden dramatik apabila Jorge Martin hilang kawalan jentera Aprilia pada selekoh pertama sebelum melanggar pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi.
Kemalangan itu turut melibatkan Raul Fernandez, Fermin Aldeguer dan Fabio Di Giannantonio.
Bagaimanapun, hanya Di Giannantonio berjaya meneruskan perlumbaan selepas kembali ke trek.
Di hadapan, Acosta memberi tentangan sengit apabila merampas kedudukan pendahulu daripada Marquez seawal pusingan kedua dan sempat mendahului lebih satu saat.
Namun, pengalaman Marquez menjadi pemisah apabila beliau mula merapatkan jurang sebelum memintas Acosta pada pusingan ke-15 untuk kembali mendahului perlumbaan.
Selepas itu, juara dunia lapan kali tersebut terus menguasai perlumbaan dan mencatat pusingan terpantas 1 minit 38.313 saat sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
Sementara itu, pelumba Jepun, Ai Ogura meneruskan aksi cemerlang musim debutnya apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti Luca Marini di kedudukan kelima.
Pendatang baharu dari Brazil, Diogo Moreira pula mencatat keputusan terbaik kariernya dengan tempat keenam, manakala pelumba gantian, Iker Lecuona menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Keputusan itu mengukuhkan lagi kedudukan Marquez dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini sambil membuktikan beliau masih mampu mempamerkan aksi dominan seperti era kegemilangannya sebelum ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP