KUALA LUMPUR – Persiapan Iran menjelang saingan Piala Dunia 2026 berdepan cabaran luar padang apabila tidak semua anggota delegasi negara itu diberikan kebenaran memasuki Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan media antarabangsa, Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) mengesahkan skuad kebangsaan negara itu telah menerima visa untuk menyertai kejohanan berprestij berkenaan, namun beberapa anggota delegasi tidak mendapat kelulusan yang sama.
Antara yang tidak diberikan kebenaran memasuki AS ialah Presiden FFIRI, Mehdi Taj.
Situasi itu berlaku ketika hubungan geopolitik yang tegang serta konflik berterusan di rantau Asia Barat terus memberi kesan kepada pergerakan delegasi Iran menjelang kejohanan tersebut.
Susulan faktor keselamatan, skuad kebangsaan Iran yang dikenali sebagai Team Melli dilaporkan akan menjadikan Mexico sebagai pangkalan latihan sepanjang kempen Piala Dunia dan hanya memasuki AS bagi menghadiri perlawanan rasmi.
Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pazandideh, turut memaklumkan delegasi Iran tidak dibenarkan bermalam di AS di luar keperluan pertandingan.
Menurut beliau, pasukan itu dijangka kembali ke Mexico sebaik sahaja tamat setiap perlawanan yang berlangsung di AS, dengan pihak berkuasa Mexico memberi jaminan sokongan dan layanan sewajarnya kepada delegasi Iran.
Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Iran tetap bertekad memberi saingan dalam kempen Piala Dunia 2026.
Iran diundi dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Belgium dan Mesir.
Mereka akan membuka kempen menentang New Zealand di SoFi Stadium pada 16 Jun ini dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 9 pagi waktu Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FFIRI