MEXICO CITY – Tuan rumah bersama, Mexico memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan bergaya apabila menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Azteca awal pagi tadi.
Gol daripada Julián Quiñones dan Raúl Jiménez memastikan tiga mata berharga menjadi milik El Tri dalam perlawanan yang turut dicemari tiga kad merah.
Bermula dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri, Mexico menguasai permainan sejak wisel pertama dan berjaya memecah kebuntuan pada babak pertama hasil kesilapan benteng Afrika Selatan.
Erik Lira yang berjaya merampas bola di kawasan lawan pantas melorongkan hantaran tepat kepada Quiñones sebelum penyerang itu meledak rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Gol tersebut menyuntik keyakinan kepada Mexico yang terus mengawal tempo permainan, manakala Afrika Selatan bergelut untuk mencipta peluang berbahaya.
Malang buat Bafana Bafana apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-50 selepas Sphephelo Sithole dilayangkan kad merah susulan terjahan keras terhadap Brian Gutiérrez.
Kelebihan pemain dimanfaatkan sepenuhnya Mexico yang terus menggandakan tekanan ke atas lawan.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-67 menerusi tandukan penyerang berpengalaman, Raúl Jiménez yang menyempurnakan hantaran ke dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Afrika Selatan terus dihimpit masalah apabila ketua pasukan, Themba Zwane turut dibuang padang pada minit ke-84 selepas terlibat dalam insiden kekasaran.
Mexico bagaimanapun tidak menamatkan perlawanan dengan jumlah pemain penuh apabila pertahanan mereka, César Montes turut menerima kad merah pada masa kecederaan.
Kemenangan itu memberikan permulaan sempurna buat Mexico dalam saingan Kumpulan A dan meningkatkan keyakinan pasukan berkenaan untuk melangkah lebih jauh di hadapan penyokong sendiri.
Selepas ini, Mexico bakal berdepan Korea Selatan di Guadalajara, manakala Afrika Selatan wajib bangkit ketika menentang Republik Czech bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Seleccion MX