TOKYO – Kapten Jepun, Wataru Endo mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa selepas terpaksa menarik diri daripada skuad Jepun ke Piala Dunia 2026 akibat kecederaan buku lali kiri.
Pengumuman penuh emosi itu dibuat menerusi akaun rasmi X miliknya apabila pemain berusia 33 tahun tersebut mengesahkan bukan sahaja gagal beraksi di pentas Piala Dunia, malah menamatkan terus kariernya bersama skuad Samurai Blue.
Endo mengakui telah berusaha sedaya upaya untuk pulih sebelum kejohanan bermula, namun kecederaan yang dialami menyebabkan impiannya untuk beraksi pada kejohanan terbesar dunia itu tidak kesampaian.
Menurutnya, kekecewaan kerana terlepas peluang beraksi di Piala Dunia sememangnya sukar diterima, namun beliau berbangga kerana berjaya memainkan peranan penting dalam membentuk mentaliti baharu pasukan Jepun sejak tamat saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Seperti yang diumumkan, saya terpaksa meninggalkan skuad Piala Dunia. Sejak mengalami kecederaan, saya telah melakukan segala yang termampu, jadi saya tidak mempunyai sebarang penyesalan.
“Sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat beraksi di Piala Dunia kali ini, tetapi saya lebih bangga kerana sejak Piala Dunia Qatar, saya diberi kepercayaan memimpin pasukan ini dan membantu membina sebuah skuad yang berani bercakap mengenai sasaran menjadi juara dunia,” katanya.
Sejak dilantik sebagai kapten selepas kempen Qatar 2022, Endo menjadi tonggak utama dalam membentuk identiti serta keyakinan generasi baharu Jepun yang kini dianggap antara pasukan terbaik dalam sejarah negara itu.
Beliau turut menyifatkan skuad semasa Jepun memiliki kualiti, karakter dan semangat juang yang cukup tinggi untuk mengatasi apa jua cabaran di pentas dunia.
“Ini adalah sebuah pasukan yang hebat. Saya percaya mereka mampu mengharungi apa sahaja cabaran dan menghadiahkan sesuatu yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” katanya.
Jepun memasuki Piala Dunia 2026 dengan harapan tinggi selepas menunjukkan peningkatan konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah ramai pemerhati melihat mereka sebagai antara pasukan ‘dark horse’ kejohanan.
Dalam masa sama, Endo mengesahkan penarikan dirinya daripada skuad Piala Dunia turut menandakan berakhirnya perjalanan bersama pasukan kebangsaan.
Katanya, selepas ini beliau akan menyokong Jepun sebagai penyokong setia dan bukannya sebagai pemain di atas padang.
“Dengan berakhirnya tugasan ini, saya membuat keputusan untuk bersara daripada pasukan kebangsaan. Mulai sekarang, saya akan menyokong Jepun sebagai salah seorang penyokong mereka.
“Saya percaya suatu hari nanti Jepun akan memenangi Piala Dunia. Saya benar-benar yakin perkara itu akan berlaku dan berharap semua pihak terus memberikan sokongan kepada pasukan ini,” katanya.
Dalam ucapan perpisahan tersebut, Endo turut menyeru seluruh rakyat Jepun agar bersatu memberikan sokongan kepada Samurai Blue dalam misi mencipta sejarah pada kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.
“Marilah kita satukan kekuatan Jepun dan mengharungi Piala Dunia ini sebagai satu negara. Semoga detik bersejarah itu dapat direalisasikan pada kejohanan kali ini. Berikan segala-galanya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – X @Wataru0209