CAPE TOWN – Penyerang negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira apabila meledak hatrik untuk membantu Malaysia membuka kempen Piala Negara-Negara FIH 2025/26 dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Scotland dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Hartleyvale, Cape Town semalam.
Kejayaan itu turut menghadiahkan permulaan sempurna buat ketua jurulatih baharu negara, Brendon Carolan yang meraikan perlawanan kompetitif pertamanya bersama Speedy Tigers dengan kemenangan meyakinkan.
Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Akhimullah Anuar Esook meledak gol padang seawal minit keempat bagi meletakkan pasukan negara di hadapan.
Selepas menguasai sebahagian besar permainan, skuad negara akhirnya menggandakan kelebihan menerusi Azrai pada minit ke-34 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, Scotland yang menghuni ranking ke-17 dunia enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang lima minit kemudian menerusi jaringan Jamie Golden.
Gol tersebut menyuntik semangat baharu kepada Scotland, namun Malaysia pantas bertindak balas apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjaringkan gol pada minit ke-42 untuk mengembalikan kelebihan dua gol buat Speedy Tigers.
Azrai kemudian terus mencuri tumpuan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49 bagi meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-1.
Scotland sekali lagi cuba bangkit menerusi jaringan Andre McConnell pada minit ke-57 yang menjadikan kedudukan 4-2.
Namun, Malaysia kekal tenang mengawal permainan sebelum Azrai melengkapkan hatrik peribadinya menerusi gol padang seminit sebelum tamat perlawanan.
Jaringan tersebut memastikan kemenangan bergaya 5-2 buat Speedy Tigers sekali gus memberikan tiga mata berharga dalam saingan Kumpulan A.
Kemenangan itu juga mengukuhkan keyakinan Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berkenaan, selain menjadi petanda positif buat era baharu di bawah kendalian Carolan.
Prestasi cemerlang Azrai pula membuktikan beliau bakal menjadi sandaran utama jentera serangan negara sepanjang kempen Piala Negara-Negara FIH kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – WORLDSPORTSPIC/Christiaan Kotze