TORONTO – Tuan rumah bersama, Kanada, terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Bosnia dan Herzegovina dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium BMO awal pagi tadi.
Skuad kendalian Jesse Marsch menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj, menggagalkan hasrat mereka untuk meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.
Meskipun diasak bertali arus, Bosnia terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-21 menerusi Jovo Lukić yang menjaringkan gol antarabangsa pertamanya selepas menyempurnakan gerakan sepakan penjuru yang dimulakan kapten pasukan, Sead Kolašinac.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kanada terus meningkatkan tekanan, namun benteng pertahanan Bosnia kekal ampuh untuk mengekang kebangkitan lawan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kanada terus mengasak dan beberapa percubaan berbahaya berjaya diselamatkan Vasilj, selain tindakan heroik Kolašinac dan Nihad Katić yang beberapa kali menggagalkan peluang di depan pintu gol.
Usaha berterusan Kanada akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-79 apabila pemain gantian, Cyle Larin, meledak rembatan tepat dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.
Gol tersebut menyemarakkan semangat tuan rumah yang terus memburu jaringan kemenangan, namun Bosnia bertahan dengan disiplin tinggi untuk membawa pulang satu mata berharga.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata dalam perlawanan pertama Kumpulan B dan membuka saingan kumpulan tersebut menjelang aksi kedua nanti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CANMNT