KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) tampil memberi penjelasan berhubung memorandum yang diedarkan sekumpulan penyokong kepada kelab-kelab Liga Malaysia, yang membangkitkan beberapa perkara berkaitan pengurusan dan penganjuran Liga Malaysia.
MFL dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya menghormati hak mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan serta mengemukakan persoalan, namun penjelasan diberikan berdasarkan fakta, peraturan dan proses yang telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Berhubung isu pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan, MFL ingin menjelaskan bahawa kedua-dua kategori tersebut merupakan perkara yang berbeza dari segi status dan proses pengesahan,” menurut kenyataan itu.
MFL menjelaskan, bagi tujuan pendaftaran dalam Liga Malaysia, pemain yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia serta mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, tertakluk kepada peraturan dan syarat pendaftaran ditetapkan.
Ketetapan itu dinyatakan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, khususnya Perkara 4.5.9, selain Artikel 3 di bawah Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai dan Pemain serta Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT).
Berdasarkan dokumen dikemukakan kepada MFL, pemain yang dibangkitkan merupakan warganegara Malaysia dan mempunyai kad pengenalan sah, sekali gus didaftarkan sebagai pemain tempatan berdasarkan peraturan pendaftaran Liga Malaysia yang berkuat kuasa.
MFL turut memaklumkan perkara itu sudah diterangkan kepada wakil kelab Liga Malaysia menerusi Majlis Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga Malaysia 2025-2026 pada 29 April 2026.
Selain itu, pendirian MFL mengenai pengiktirafan pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut mendapat penjelasan daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac 2026.
Mengenai keputusan menambah lima kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab Liga Malaysia musim 2026-2027, MFL berkata keputusan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan daripada Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Walaupun permohonan asal dikemukakan oleh dua kelab berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan agar tambahan kuota tersebut dibuka kepada semua kelab Liga Malaysia,” katanya.
Menurut MFL, keputusan itu dibuat bagi memastikan keseragaman dan keseimbangan antara kelab yang bertanding, selain memberikan peluang kepada lebih ramai pemain tempatan untuk didaftarkan.
Keputusan berkenaan dibuat ketika jendela pendaftaran pemain pertama Liga Malaysia musim 2026-2027 masih dibuka dan hanya berakhir pada 3 September 2026.
Dalam perkembangan berkaitan Kuala Lumpur City FC (KL City), MFL berkata pihaknya sudah dimaklumkan lebih awal bahawa kelab itu sedang dalam proses menyelesaikan kes FIFA bagi membolehkan perintah larangan pendaftaran pemain ditarik balik.
MFL berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada KL City dengan mengambil kira proses penyelesaian kes berkenaan dan menunggu FIFA membenarkan pendaftaran pemain baharu sebelum jendela perpindahan pemain pertama ditutup pada 3 September 2026.
Perlawanan KL City menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 22 Ogos lalu bagaimanapun tidak dapat dilangsungkan selepas kelab itu mengemukakan permohonan kepada MFL pada jam 12.40 tengah hari berhubung keadaan kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti wabak influenza.
“Bagaimanapun berdasarkan maklumat pendaftaran dalam sistem MyPAS pada 22 Ogos 2026, MFL mendapati Kuala Lumpur City FC hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja (11 pemain, satu penjaga gol),” menurut MFL.
Disebabkan kelewatan menyelesaikan isu tunggakan gaji kes FIFA, KL City tidak dapat mendaftarkan jumlah pemain mencukupi iaitu minimum 20 pemain termasuk dua penjaga gol bagi menggantikan pemain yang tidak dapat beraksi akibat jangkitan influenza.
Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta tiga mata berikutan kegagalan KL City turun beraksi dalam perlawanan pertama Unifi Liga Super.
KL City turut dikenakan denda RM50,000 serta dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan MFL.
Di bawah Artikel 4.5.7(i) Peraturan Pertandingan, semua kelab Liga Malaysia hendaklah mendaftarkan antara 15 hingga 20 pemain dalam Team List, termasuk sekurang-kurangnya dua penjaga gol.
Pada masa sama, pekeliling MFL bertarikh 29 Jun 2026 menetapkan semua kelab mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain termasuk tiga penjaga gol sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia musim 2026-2027.
KL City kemudian mengemukakan permohonan rasmi kepada MFL untuk mendapatkan kelulusan khas selepas memaklumkan telah menyelesaikan tunggakan bayaran kepada dua bekas pemain import menerusi surat rasmi bertarikh 24 Ogos 2026 berserta salinan bukti pembayaran.
Bagaimanapun, kelab itu masih dalam proses mendapatkan kelulusan FIFA bagi penarikan balik Perintah Larangan Perpindahan Pemain.
Setelah meneliti keadaan dan permohonan dikemukakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju memberikan kelulusan khas kepada KL City untuk mendaftarkan minimum 12 pemain bagi perlawanan Unifi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 26 Ogos 2026.
MFL menegaskan keputusan itu merupakan kelulusan khas berdasarkan keadaan dan fakta kes berkenaan dan tidak bermaksud syarat pendaftaran yang ditetapkan dalam peraturan Liga Malaysia dipinda atau diketepikan secara umum.
“MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan berkaitan pertandingan Liga Malaysia dibuat secara teratur, berdasarkan peraturan yang ditetapkan serta mengambil kira kepentingan pertandingan dan kelab-kelab yang bertanding,” katanya. – DETIK MALAYSIA
