KUALA LUMPUR – Sebuah Honda Civic Type R yang diubah suai secara ekstrem dengan kos kira-kira RM150,000 antara 37 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Ekstrem di sekitar ibu negara, Ahad lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi yang dijalankan dari pukul 1 hingga 5 pagi itu dilaksanakan susulan aduan serta maklumat orang awam berhubung aktiviti pengubahsuaian kenderaan secara melampau.
Katanya, pengubahsuaian tersebut bukan sahaja melanggar peraturan, malah menimbulkan gangguan bunyi dan menjejaskan ketenteraman awam.
“Operasi itu dijalankan dari jam 1 pagi hingga 5 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan yang diubah suai secara tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini semalam.
Menurut beliau, sebanyak 156 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 97 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan teknikal.
“Antara kenderaan yang dikesan ialah sebuah Honda Civic Type R yang menjalani pengubahsuaian ekstrem dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM150,000.
“Selain itu, terdapat sebuah kenderaan diubah suai sehingga kedudukan badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan,” katanya.
Aedy Fadly berkata, beberapa kenderaan turut dikesan menggunakan sistem suspensi udara atau air suspension dengan kos pengubahsuaian antara RM15,000 hingga RM25,000.
“Pengubahsuaian seperti ini tidak dibenarkan dan tidak mendapat kelulusan kerana boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pemilik kenderaan serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 485 notis dikeluarkan sepanjang operasi itu membabitkan pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah tersebut, 357 Notis JPJ(P)22 (saman), 38 Notis Seksyen 61(1) (arah periksa), 21 Notis PG(1) (larangan penggunaan kenderaan), 30 Notis JPJ(P)23 (arahan mengemukakan butiran) dan 37 Notis Seksyen 64(1) (sita).
Menurutnya, kesalahan paling banyak dikesan membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dengan 97 kes.
Ia diikuti penggunaan ekzos tidak mematuhi peraturan (77), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (66), tiada perlindungan insurans (57), cermin gelap tidak mengikut spesifikasi (44) serta pengubahsuaian bentuk kenderaan (11).
“Jalan raya bukan tempat untuk mempamerkan pengubahsuaian ekstrem, menguji keupayaan kenderaan atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Aedy Fadly menegaskan Ops Ekstrem tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu ini.
“Mana-mana kenderaan yang melakukan pengubahsuaian tidak dibenarkan akan ditahan, disita dan dikenakan tindakan sewajarnya sehingga kenderaan tersebut dikembalikan kepada spesifikasi asal,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JPJ
