KUALA LUMPUR – Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai hampir 50 kapal dan 400 pelayar dari 44 negara kini semakin hampir ke Gaza apabila hanya tinggal kurang 400 batu nautika sebelum tiba ke destinasi.
Pempengaruh media sosial yang juga pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad, 58, berkata pihaknya kini berada di perairan antarabangsa selepas 10 jam meninggalkan Pantai Crete, Greece.
“Lautan Mediteranean sedikit berombak, namun kami berharap ia kekal tenang.
Insya-Allah, dalam tempoh 3.5 hari lagi kami dijangka tiba ke pantai Gaza,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Menurutnya, misi kali ini merupakan perjuangan ke-38 dalam tempoh 17 tahun yang dilakukan aktivis flotilla bagi menembusi kepungan rejim Israel.
“Sejak 2008 hingga Jun dan Julai 2025, semangat aktivis flotilla tidak pernah padam. Doakan agar misi ke-38 kali ini diberikan peluang sampai ke destinasi,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA