INGLEWOOD – Penyerang sensasi, Mikel Oyarzabal muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu Sepanyol membelasah Austria 3-0 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium SoFi, awal pagi tadi.
La Furia Roja mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila menguasai sebahagian besar permainan sebelum Oyarzabal mencuri tumpuan dengan jaringan berganda bagi memastikan kemaraan selesa ke pusingan 16 terbaik.
Selain dua gol Oyarzabal, pertahanan Pedro Porro turut mencatat nama sebagai penjaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya juara dunia 2010 itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sepanyol meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Dunia 2026, manakala Austria terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas tersingkir seawal pusingan kalah mati.
Pada pusingan 16 terbaik nanti, Sepanyol akan menanti pemenang pertembungan antara Portugal dan Croatia bagi merebut tempat ke suku akhir.
Prestasi cemerlang ketika menentang Austria pastinya menjadi tonik terbaik buat anak-anak buah Luis de la Fuente yang kini dilihat antara pencabar utama untuk menjulang trofi Piala Dunia edisi kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo
