KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang ditahan berhubung perhimpunan aman di hadapan sebuah lokasi di Kuala Lumpur semalam.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, hak untuk berhimpun secara aman merupakan jaminan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mempersoalkan alasan penahanan beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Menurut beliau, difahamkan beberapa individu telah ditahan oleh pihak berkuasa dan dijangka didakwa pada bulan hadapan.
“Pertama, saya ingin bertanya, hak untuk berhimpun adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Jadi atas sebab apa mereka ini ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa semalam? Adakah hak itu sudah tidak lagi terpakai?” katanya dalam sagu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO bersedia membantu mereka yang ditahan dengan menyediakan khidmat guaman tanpa bayaran.
“Insya-Allah, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin menawarkan khidmat peguam Pemuda UMNO secara percuma kepada mereka yang telah ditahan ini,” ujarnya.
Muhamad Akmal turut mengkritik pihak kerajaan yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak berhimpun ketika menjadi pembangkang, namun kini didakwa gagal mempertahankan hak tersebut selepas mentadbir negara.
“Dulu mereka berdegar-degar bercakap untuk mempertahankan hak berhimpun, hak yang perlu dipertahankan. Tetapi hari ini apabila mereka menjadi kerajaan, sepatutnya mereka mempertahankan mereka yang ditangkap semalam,” katanya.
Beliau menambah, Pemuda UMNO akan berdiri bersama individu terbabit dan bersedia membantu mereka di mahkamah sekiranya didakwa.
“Jangan risau, Pemuda UMNO bersama dengan anda semua. Mereka yang akan didakwa boleh hubungi saya dan pihak Pemuda UMNO untuk kita bantu dan lawan bagi pihak anda di mahkamah nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat tindakan penguatkuasaan sepatutnya lebih tertumpu kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah, bukannya terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.
“Sepatutnya tahanlah mereka yang menceroboh tanah itu. Kenapa mahu menahan mereka yang ingin mempertahankan tanah yang telah diceroboh? Insya-Allah, kita lawan perkara ini bersama-sama, lawan sampai habis,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA