SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengumumkan penubuhan Gabungan Media Untuk Mempertahankan Al-Quds dan Palestin – Malaysia, sebagai usaha menyatukan pengamal media negara ini dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan buat rakyat Palestin.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata penubuhan gabungan itu dibuat ketika situasi di Gaza dan Al-Quds semakin membimbangkan, dengan laporan berat sebelah serta tekanan terhadap institusi media dilihat semakin berleluasa.
Menurutnya, gabungan berkenaan bertujuan menjadi platform kolektif yang menghimpunkan wartawan, editor, penyiar, pengamal media digital, ahli akademik, pencipta kandungan serta organisasi media bebas yang komited kepada kewartawanan beretika.
“Gabungan ini bertujuan memastikan naratif mengenai Palestin dilaporkan secara tepat, bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk penapisan atau manipulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perjuangan Palestin adalah perjuangan menegakkan kebenaran.
“Apabila kebenaran dibisukan, kezaliman akan terus bermaharajalela. Media memikul tanggungjawab besar untuk bersuara ketika yang lain memilih diam,” katanya.
Beliau menegaskan penubuhan gabungan itu adalah bukti komitmen Malaysia untuk terus berdiri bersama Palestin dan mempertahankan Al-Quds.
Menurutnya, antara objektif utama gabungan itu termasuk menangkis maklumat palsu dan propaganda, mengangkat suara rakyat Palestin terutama di Gaza dan Al-Quds, serta mempertahankan prinsip kewartawanan beretika berlandaskan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, ia juga akan menyelaras respons media ketika krisis, meningkatkan literasi media dalam kalangan pengamal media tempatan serta mengukuhkan kerjasama dengan rangkaian media antarabangsa.
Mapim turut menyeru organisasi media, wartawan, editor, platform media digital, institusi akademik serta pencipta kandungan untuk menyertai gabungan ini bagi membentuk barisan media yang lebih bersatu dan berkesan.
Dalam masa terdekat, gabungan itu akan mengumumkan jawatankuasa penyelaras interim, kerangka keahlian, kod etika serta pelan tindakan dan latihan untuk wartawan. – DETIK MALAYSIA