PAROI – Selangor FC membawa pulang kelebihan tipis namun amat berharga selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 menerusi sepakan penalti lewat permainan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di sini malam tadi.
Sejak wisel permulaan, Gergasi Merah menguasai perlawanan dengan corak permainan agresif, menekan benteng tuan rumah bertubi-tubi. Namun, penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Azri Abdul Ghani mempamerkan aksi cemerlang bertaraf ‘Man of the Match’ apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan Selangor pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, skuad Hobin Jang Hobin meningkatkan intensiti permainan dengan beberapa gerakan berbahaya menerusi Joseph Esso, Takumi Sasaki dan pemain gantian, Jovan Motika. Namun, penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz kekal tenang menutup gawang pelawat.
Drama tercetus pada minit ke-76 apabila Chrigor Moraes menjaringkan gol dari jarak dekat, mencetuskan sorakan penyokong Selangor. Bagaimanapun, selepas semakan panjang VAR, jaringan itu dibatalkan kerana bola terkena tangan dalam fasa binaan serangan.
Keputusan tersebut menyebabkan ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon berang di tepi padang sebelum dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Tuan Mohamad Yaasin.
Ketika perlawanan hampir berakhir tanpa jaringan, Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas pemain Negeri Sembilan melakukan kekasaran dalam kotak penalti.
Moraes yang tampil sebagai algojo tenang menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke-95 untuk menebus kesilapannya sebelum ini dan memastikan kemenangan penting buat Selangor menjelang aksi timbal balik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC