Piala Dunia Remaja 2025 : Malaysia mula langkah kanan benam Australia

MADURAI – Malaysia membuka tirai kempen Piala Dunia Remaja 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah Austria 5-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Suku pertama berlangsung seimbang tanpa sebarang jaringan, namun Young Tigers akhirnya menemui rentak pada minit ke-28 menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Muhammad Harris Iskandar Osman.

Babak kedua menyaksikan pesta gol bermula apabila Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menggandakan kelebihan pada minit ke-47 sebelum Naaveennesh Panicker menambah derita Austria lapan minit kemudian, juga melalui pukulan sudut penalti.

Austria cuba menghidupkan permainan selepas Julian Kaiser merapatkan jurang pada minit ke-56, namun Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar memadam terus harapan lawan apabila meledak dua gol padang berturut-turut pada minit ke-56 dan 57 sekali gus memastikan kemenangan bergaya 5-1 buat Malaysia.

Malaysia yang berada dalam kumpulan dianggap ‘kumpulan maut’ bersama Belanda, England dan Austria, tidak mempunyai ruang untuk kesilapan memandangkan edisi kali ini menampilkan format baharu 24 pasukan.

Dalam edisi terdahulu, Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasukan, manakala Jerman muncul juara. Rekod itu menjadi peringatan besar buat skuad muda negara, namun mereka hadir ke India dengan keyakinan baharu dan misi lebih besar. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - International Hockey Federation (FIH)