PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Shamsul Iskandar Mohd. Akin, susulan dakwaan yang tular berkaitan isu pemberian wang melibatkan seorang usahawan.
Anwar dalam kenyataan berkata, beliau menghargai khidmat Shamsul Iskandar dan menegaskan komitmennya terhadap ketelusan.
“Saya menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau,” katanya, hari ini.
Mengulas dakwaan yang timbul, Perdana Menteri menegaskan bahawa agensi penyiasat bebas untuk bertindak.
“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar,” tegasnya.
Menurut beliau, kerajaan Madani akan kekal teguh berpegang pada prinsip integriti dan tidak akan mengganggu proses siasatan.
“Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya. - DETIK MALAYSIA