MARANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meneruskan komitmen menyantuni masyarakat menerusi penganjuran program agihan bubur lambuk sempena Ramadan bagi tahun kedua berturut-turut.
Menerusi inisiatif yang dikenali sebagai Kasih Ramadan 2026 @ 1447H, sebanyak 3,800 pek bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan secara percuma kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya di sekitar daerah ini. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding edisi terdahulu.

Ketua Polis Daerah Marang, Supt. Mohd Sofian Redzuan berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai tahun lalu menjadi pemangkin untuk pihaknya meneruskan program berkenaan pada tahun ini dengan skala yang lebih besar.
Menurut beliau, penganjuran kali ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara IPD Marang dan rakan-rakan korporat tempatan sekali gus merapatkan hubungan dua hala antara polis dan komuniti.
“Maklum balas positif yang diterima sebelum ini memberi dorongan untuk kami meneruskan usaha ini. Sokongan padu rakan strategik dari sekitar Marang juga membolehkan program dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi impak yang lebih luas kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis agihan di perkarangan IPD Marang.


Bubur lambuk berkenaan dimasak sendiri oleh anggota polis dengan bantuan tenaga kerja daripada rakan strategik program. Sebanyak 12 periuk bubur berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan hasil kerjasama berpasukan yang erat.
Pengurus program, Alif Azizi Sulaiman daripada PSM Motors (M) Sdn. Bhd. berkata, pengurusan dan penyelarasan yang lebih teratur tahun ini membolehkan proses penyediaan berjalan lancar walaupun jumlah agihan meningkat.
“Kami memulakan gotong-royong memasak seawal pagi. Cabarannya lebih besar berbanding tahun lalu kerana kuantiti perlu digandakan, namun dengan perancangan rapi dan komitmen semua pihak, bubur dapat disiapkan mengikut jadual untuk diedarkan kepada orang ramai menjelang tengah hari,” ujarnya.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Rakyat Cawangan Marang serta Liberty Insurance yang bersama-sama berganding bahu menjayakan penganjuran tahun kedua inisiatif berkenaan.
Penganjuran Kasih Ramadan dilihat bukan sahaja sebagai usaha kebajikan sempena bulan mulia, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat dalam suasana harmoni serta penuh muafakat. – DETIK MALAYSIA