JOHOR BAHRU – QSR Brands melalui KFC Malaysia terus memainkan peranan utama dalam membangunkan tenaga kerja masa depan negara dengan meraikan graduasi 37 pelajar daripada Kohort 2 program Akademi Dalam Industri (ADI). Pencapaian penting ini mencerminkan komitmen KFC Malaysia untuk mewujudkan laluan kerjaya yang bermakna untuk golongan muda Malaysia dengan menggabungkan pendidikan dengan pengalaman industri secara langsung.
Para graduan telah menamatkan hampir dua tahun pembelajaran di dalam bilik darjah serta latihan berstruktur di tempat kerja, selaras dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara industri dan institusi pendidikan melalui pendidikan dan latihan vokasional. Sebagai rakan industri, KFC Malaysia menyediakan peluang pembelajaran dalam situasi kerja sebenar di restorannya, sekali gus membolehkan para pelajar memperoleh kemahiran praktikal sambil menamatkan pendidikan menengah atas mereka.
ADI diperkenalkan pada Jun 2023 sebagai inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor restoran perkhidmatan segera di Malaysia. Program ini dijayakan melalui kerjasama strategik dan dibangunkan bersama oleh KFC Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan. Sebagai rakan industri sektor swasta perintis di bawah kerangka ADI, KFC Malaysia menyumbangkan kepakaran operasinya dalam membantu merangka dan melaksanakan silibus vokasional Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan Segera, bagi memastikan para pelajar memperoleh kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan, Ts. Zulkernai Fauzi, berkata, program ini menetapkan penanda aras bagi pendidikan vokasional yang diintegrasikan dengan industri.
“Program ADI mencerminkan integrasi industri dan pendidikan yang kita mahu lihat diperluaskan. Pelajar memperoleh pensijilan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan sambil menimba pengalaman kerja sebenar. Itulah hala tuju yang sedang kita usahakan bagi pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia,” kata Ts. Zulkernai.

Kohort graduan terbaharu ini meneruskan kejayaan pengambilan sulung seramai 23 pelajar yang menamatkan latihan industri mereka pada Mac 2025, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan graduan ADI yang telah dilatih melalui KFC Malaysia kepada 60 orang.
Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani berkata, “Di Yayasan JCorp, kami percaya setiap golongan muda berhak mendapat peluang untuk meneroka potensi kendiri tanpa mengira latar belakang mereka. Pembabitan dalam ADI mewujudkan peluang yang memperkasa pelajar untuk membina keyakinan, membangunkan kemahiran praktikal dan mengambil langkah bermakna ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Sokongan berterusan daripada rakan kongsi seperti QSR Brands mencerminkan komitmen bersama kami untuk membangunkan tenaga kerja masa depan Malaysia. Dengan menyatukan pendidikan dan industri, kami membuka peluang kepada golongan muda untuk didedahkan kepada dunia pekerjaan sebenar, meningkatkan keyakinan dan merealisasikan potensi penuh mereka,” ujarnya.
Menekankan komitmen jangka panjang KFC Malaysia terhadap pembangunan bakat, Dr. Sharifah Musainah Syed Alwi, Ketua Pegawai Sumber Manusia QSR Brands (M) Holdings Bhd, berkata kejayaan Kohort 2 telah membuktikan keberkesanan serta kemampanan program berkenaan.
“Kami bukan sekadar menyampaikan sijil, sebaliknya memberi pengiktirafan kerana kesemua pelajar ini telah menjalani latihan di restoran KFC, mengendalikan operasi sebenar dan menamatkan program dengan kemahiran yang diiktiraf serta dihargai oleh industri.
“Di KFC Malaysia, kami komited untuk membangunkan bakat masa depan dan mewujudkan peluang kerjaya yang mudah diakses oleh golongan muda. Kami kekal komited untuk menawarkan laluan kerjaya kepada para graduan yang memilih untuk meneruskan kerjaya profesional mereka bersama KFC Malaysia,” ujarnya.
Kesemua 37 pelajar, yang kebanyakannya daripada keluarga B40 telah mengikuti latihan di restoran KFC di Johor Bahru, Johor, di mana mereka menjalani latihan berasaskan silibus vokasional Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan Segera. Melalui pendedahan secara langsung kepada operasi restoran, perkhidmatan pelanggan, penyediaan makanan serta piawaian di tempat kerja, para pelajar berjaya membangunkan kecekapan berkaitan industri yang menyediakan mereka untuk pekerjaan pada masa hadapan.
Kohort ini mencatat keputusan cemerlang dengan kadar kelulusan 100 peratus bagi Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3, manakala 95 peratus turut lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap graduan menerima lima kelayakan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV), SKM Tahap 2, SKM Tahap 3, Sijil Tamat Program dan Sijil Penghargaan daripada QSR Brands.
Majlis graduasi Kohort 2 turut mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar menerusi penyampaian Anugerah Perantis Terbaik (Kategori Industri), Anugerah Perantis Terbaik (Kategori SPM) dan Anugerah Dokumentasi Perantisan Terbaik.
Lebih 200 tetamu telah hadir, termasuk ibu bapa, wakil pihak sekolah, pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta pegawai daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, bagi meraikan pencapaian para pelajar dan kejayaan berterusan program yang membantu membentuk generasi baharu tenaga kerja mahir Malaysia. – DETIK MALAYSIA
