BAGAN DATUK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Shahrul Zaman Yahya menegaskan kejohanan sukan bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya platform membentuk disiplin, semangat berpasukan dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, nilai-nilai tersebut perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah mempunyai sahsiah terpuji.
“Di gelanggang, kita belajar tentang kemenangan dan kekalahan. Tetapi yang lebih penting, kita belajar tentang disiplin, semangat berpasukan dan tidak mudah berputus asa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Pingat Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Bagan Datuk 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Batu 16.
Shahrul yang juga Penaung Persatuan Bola Baling Daerah Bagan Datuk berkata, beliau berbangga melihat semangat, komitmen dan kesungguhan dipamerkan atlet muda sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.
Menurutnya, kalah atau menang adalah lumrah dalam pertandingan, namun pengalaman, disiplin dan semangat kesukanan yang dibina merupakan kejayaan sebenar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang muncul juara serta memuji semua peserta yang memberikan saingan terbaik dengan semangat kesukanan yang tinggi.
“Anda semua adalah kebanggaan daerah Bagan Datuk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada MSSD Bagan Datuk, pihak sekolah, guru, jurulatih, pengadil, ibu bapa dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan berkenaan.
Katanya, pembangunan sukan perlu terus diperkasakan kerana mampu melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan, berkeyakinan dan mampu bekerjasama dalam satu pasukan.
Beliau berharap kejohanan seperti itu diteruskan sebagai platform mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama Bagan Datuk, Perak dan Malaysia pada masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB SHAHRUL YAHYA
