KUALA LUMPUR – Bunga Raya FC merayu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan semula penyertaan kelab itu dalam saingan Liga Super 2026/27 selepas tidak tersenarai untuk beraksi pada musim baharu.
Menerusi satu kenyataan rasmi, kelab berkenaan mengakui kecewa dengan keputusan itu selepas berbulan-bulan membuat persiapan, perancangan serta membina operasi bola sepak profesional yang mampan.
Menurut Bunga Raya FC, mereka telah memperoleh komitmen penajaan hampir RM4 juta, namun dana tersebut tertakluk kepada penyertaan dalam saingan Liga Super musim 2026/27.
Malah, beberapa jenama serta syarikat korporat lain turut menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama sekiranya penyertaan kelab itu dalam liga tertinggi negara menjadi kenyataan, namun identiti penaja tidak didedahkan atas faktor kerahsiaan dan profesionalisme.
Kelab itu turut memaklumkan rundingan penajaan dan kerjasama strategik lain yang kini berada di peringkat akhir berpotensi menambah lagi sokongan kewangan bernilai jutaan ringgit.
Menurut mereka, pelaburan itu bukan sahaja mampu menyokong operasi pasukan bagi musim 2026/27, malah menjadi asas kewangan kukuh untuk musim-musim berikutnya.
Selain pasukan utama, Bunga Raya FC turut merancang program pembangunan jangka panjang melibatkan skuad bawah 17, bawah 18 dan bawah 20 tahun yang dijadual menyertai pertandingan kebangsaan musim depan.
Bagaimanapun, kelab itu memaklumkan sebahagian besar perancangan tersebut kini terpaksa ditangguhkan susulan kegagalan menyertai Liga Super.
Bunga Raya FC turut menjelaskan keputusan itu memberi kesan kepada kira-kira 35 hingga 40 pemain, jurulatih serta barisan teknikal yang berisiko kehilangan peluang beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara.
“Bagi ramai daripada mereka, peluang ini bukan sekadar kontrak atau pekerjaan, sebaliknya hasil pengorbanan dan impian selama bertahun-tahun untuk bergelar pemain bola sepak profesional,” menurut kenyataan itu.
Walaupun menghormati keputusan MFL, Bunga Raya FC berharap masih ada ruang untuk pertimbangan semula sebelum Liga Super 2026/27 bermula.
Kelab itu menegaskan mereka bersedia memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan membuktikan kemampuan bersaing secara profesional di peringkat tertinggi.
“Bunga Raya FC sentiasa bersedia. Jika peluang diberikan, kami komited memenuhi semua keperluan dan membuktikan kami mampu bersaing secara profesional di pentas tertinggi bola sepak negara.”
Bunga Raya FC turut menegaskan komitmen mereka untuk membina sebuah institusi bola sepak profesional yang mampan tidak akan berubah walau apa juga keputusan akhirnya.
“Kami bukan sekadar berjuang mendapatkan tempat dalam Liga Super, tetapi mahu membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan, jurulatih, pegawai pasukan dan bakat muda untuk terus berkembang dalam ekosistem bola sepak Malaysia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Perak FA
