KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum cadangan dua Ahli Parlimen kerajaan termasuk Setiausaha Agung Anthony Loke serta Hassan Karim yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau badan pemantau bebas bagi memperkukuh mekanisme pengawasan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, prinsip akauntabiliti institusi mesti bergerak seiring dengan kuasa penguatkuasaan yang dimiliki sesuatu agensi.
“Sebagai agensi yang mempunyai kuasa besar untuk menyiasat dan mendakwa kes rasuah berprofil tinggi, SPRM juga perlu mempunyai struktur semak dan imbang yang benar-benar diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia sebenarnya tidak ketandusan mekanisme pengawasan langsung terhadap SPRM kerana ketika ini sudah wujud lima badan pemantau termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta beberapa panel lain.
“Tumpuannya bukan sekadar pada kewujudan mekanisme, tetapi pada soal keberkesanan, ketelusan dan kebebasan fungsi badan-badan tersebut,” ujarnya.
Mengulas cadangan RCI, beliau menjelaskan bahawa instrumen itu lazimnya digunakan dalam keadaan luar biasa, khususnya apabila berlaku krisis keyakinan serius dan wujud keperluan siasatan bebas secara menyeluruh.
Katanya, sekiranya kerajaan berpandangan persepsi awam telah menjejaskan integriti institusi secara signifikan, maka RCI boleh dipertimbangkan sebagai langkah memulihkan keyakinan.
“Namun keputusan menubuhkan RCI mesti berasaskan keperluan objektif, bukannya tekanan politik atau persepsi semata-mata.
“Kita juga perlu berhati-hati agar mekanisme pengawasan tidak bertukar menjadi alat tekanan politik terhadap agensi penguatkuasaan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, MCW mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengekang naratif spekulatif yang tidak berasaskan fakta.
Antaranya termasuk memperkasakan Jawatankuasa Khas Parlimen dengan akses laporan berkala yang lebih telus serta membenarkan sesi pendengaran tertutup bersama kepimpinan SPRM bagi isu sensitif.
Selain itu, MCW mencadangkan garis panduan pengisytiharan aset yang lebih telus melalui pendedahan berkala kepada panel bebas bagi meredakan polemik berulang.
SPRM juga disaran memperkasa protokol komunikasi krisis institusi agar respons terhadap isu sensitif lebih pantas dan berfakta bagi mengelakkan ruang spekulasi.
Dalam jangka panjang, MCW berpandangan pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya melalui proses melibatkan pengesahan Parlimen wajar dipertimbangkan bagi memperkukuh kepercayaan awam.
“MCW konsisten dengan dua prinsip utama iaitu tiada siapa kebal daripada penelitian dan tiada institusi wajar dilemahkan melalui tuduhan liar yang belum dibuktikan.
“Tuduhan berterusan tanpa penyelesaian tuntas boleh mencalarkan kredibiliti kerajaan serta menjejaskan persepsi pelabur. Penyelesaiannya bukan melemahkan SPRM, sebaliknya memperkukuh kerangka akauntabiliti secara institusional,” katanya.
Tegasnya, Malaysia memerlukan SPRM yang kuat, namun pada masa sama diyakini rakyat.
“Apa jua keputusan kerajaan, matlamat akhirnya mesti jelas iaitu memperkukuh integriti institusi, bukan memenangkan pergelutan politik,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA