KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang amat serius dapatan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 yang mendedahkan dua isu besar melibatkan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap tadbir urus sektor berkenaan.
Menurut laporan tersebut, sebanyak RM183.11 juta baki geran penyelidikan tidak dipulangkan membabitkan 7,904 projek di empat kementerian, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut didedahkan berdepan ketakteraturan serius dalam pengurusan kewangan termasuk kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil tidak direkod.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, daripada jumlah RM183.11 juta itu, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) merekodkan baki tertinggi iaitu RM110.67 juta melibatkan 7,823 projek di lima universiti penyelidikan utama negara.
“Lebih membimbangkan, hampir separuh baki tersebut telah tertunggak antara lima hingga sembilan tahun, manakala sebahagiannya melebihi 10 tahun. Ini bukan kelewatan biasa, ini kelemahan kawalan sistemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, UKM didedahkan mengutip RM50.74 juta yuran pelajar tanpa kuasa sah melalui koperasi, selain RM32.36 juta hasil tidak direkod sebagai hasil universiti.
Laporan itu turut menyentuh RM6.69 juta perbelanjaan tidak teratur termasuk komisen kepada ejen tidak layak, penggunaan kad kredit korporat bagi individu tidak layak serta konflik kepentingan melibatkan pegawai universiti.
Menurut MCW, gabungan dua isu berkenaan menunjukkan pola membimbangkan iaitu kelemahan sistemik kawalan kewangan, pemantauan dan akauntabiliti dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Universiti awam bukan syarikat persendirian. Ia institusi amanah rakyat. Dana penyelidikan dan yuran pelajar adalah wang awam serta wang keluarga yang berkorban demi pendidikan anak-anak mereka.
“Apabila geran tidak dipantau bertahun-tahun dan kutipan yuran tidak direkod dengan betul, ini bukan lagi isu pentadbiran biasa, tetapi kegagalan tadbir urus,” tegasnya.
Sehubungan itu, MCW menggesa audit forensik menyeluruh dilaksanakan terhadap semua geran tertunggak melebihi lima tahun serta semua perjanjian kerjasama melibatkan kutipan yuran.
Selain itu, siasatan bebas perlu dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur salah guna kuasa, kecuaian serius atau pelanggaran undang-undang kewangan.
“Jika terdapat elemen jenayah atau penyalahgunaan kuasa, kes mesti dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tanpa kompromi.
“KPT juga perlu membentangkan pelan pemulihan nasional bagi memperkukuh sistem pemantauan geran penyelidikan dan kawalan kewangan IPTA, dan akauntabiliti mesti sampai ke peringkat pengurusan tertinggi, bukan sekadar pertukaran dalaman pegawai,” katanya.
MCW menegaskan Malaysia tidak boleh berbicara soal kecemerlangan akademik dan inovasi sekiranya asas integriti kewangan longgar.
Sekiranya budaya ‘baki boleh tangguh’ dan ‘kutipan boleh diurus di luar sistem’ dibiarkan, ia akan menormalisasikan ketidakpatuhan dalam institusi ilmu.
“MCW akan terus memantau tindakan susulan KPT dan universiti terlibat. Rakyat berhak tahu ke mana wang mereka pergi dan siapa yang bertanggungjawab.
“Universiti sepatutnya melahirkan generasi berintegriti, bukan menjadi contoh kelemahan integriti,” katanya. – DETIK MALAYSIA