PUTRAJAYA – Tindakan penguatkuasaan yang tegas dan penyelarasan bersepadu antara semua agensi berkaitan adalah amat penting dan kritikal dalam mengekang isu lambakan sisa e-waste dan plastik.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, agensi-agensi yang terbabit dalam isu pengimportan haram e-waste, khususnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), supaya bertindak segera dan pantas apabila menerima maklumat berkenaan kegiatan haram pengimportan e-waste serta mempertingkatkan kekerapan menjalankan operasi.
“Setelah penelitian data dan statistik terkini yang diperolehi, kita akan mengesyorkan beberapa langkah komprehensif dalam aspek dasar, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa bagi menangani krisis ini secara holistik,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 3/2026 yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua agensi terlibat harus menetapkan pegawai bertanggungjawab setiap agensi semasa tindakan koordinasi penguatkuasaan dilaksanakan dan kesemua pegawai yang terbabit haruslah bertugas di tempat kejadian.
Azam turut menyeru pihak AKPS dan Kastam supaya menggabungkan segala fasiliti dan peralatan yang sedia ada untuk memaksimakan impak penggunaan kemudahan teknologi yang ada.
Beliau turut mengingatkan agensi-agensi terlibat supaya bersiap sedia kerana pemeriksaan mengejut akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akan turun padang dalam masa terdekat di lokasi-lokasi kritikal bagi menentukan keberkesanan tindakan penguatkuasaan sedia ada.
Sementara itu, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal mendedahkan bahawa terdapat sejumlah 818 kontena e-waste yang terdampar di Pelabuhan Klang sejak 2024 dan pendekatan baru harus digunakan bagi menangani isu ini.
Beliau yang membentangkan hasil dapatan ‘Mesyuarat Koordinasi Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste’ berkata, kesemua dasar dan perundangan berkaitan penyelarasan dan pengurusan sisa e-waste harus diseragamkan dan diperkukuhkan.
“Sisa e-waste harus dimasukkan di bawah ‘Larangan Mutlak di dalam Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) Tahun 2023.
“Selain itu, disyorkan agar perwakilan kuasa diberikan kepada PDRM untuk Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi penyiasatan kes pengimportan dan pemprosesan e-waste secara haram,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dan kawal selia haruslah dipertingkatkan di semua pelabuhan dan kesemua agensi terbabit harus bekerjasama dalam memperkukuhkan mekanisme kawalan di pintu masuk sempadan.
“Kita tidak boleh menggunakan cara kerja biasa bagi menyelesaikan isu ini. Sebaliknya, cara kerja yang menggunakan pendekatan di luar kebiasaan akan dipraktikkan dalam menangani masalah ini,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), DCP Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi; Komander Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM, SAC Datuk Mohd Zaki Ashar; Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, KPKPj Sudirman Aban.
Hadir sama wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kastam, JAS, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pada 8 Disember 2025 lalu, SPRM telah diberikan mandat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi mengetuai ‘Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara’.
BPT SPRM menerajui Pasukan Petugas Khas ini bagi menggerakkan hala tuju penguatkuasaan pengimportan haram e-waste dan sisa plastik dalam negara serta merangka penyelesaian holistik merentasi Kementerian, Kerajaaan Negeri, jabatan dan agensi berkaitan, selaras usaha memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SPRM