KOTA KINABALU – Sabah FC akhirnya merungkai teka-teki apabila mengesahkan pelantikan bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun negara, Juan Torres Garrido sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu.
Selepas pengunduran Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu, pengurusan Sabah membuat keputusan berani dengan memilih jurulatih dari Sepanyol yang cukup arif dengan landskap bola sepak tempatan.
Tiada istilah bulan madu buat Torres. Beliau akan terus mengemudi pasukan dalam aksi rasmi pertamanya menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini.
Sementara itu, jurulatih sementara, Alto Linus akan kembali memegang peranan sebagai Penolong Ketua Jurulatih selepas menggalas tugas ketika tempoh peralihan yang mencabar sebelum ini.
Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy menjelaskan pemilihan Torres dibuat atas keyakinan terhadap pengalaman dan pemahamannya terhadap DNA bola sepak Malaysia.
“Kami percaya kehadirannya akan membawa perubahan positif. Fokus kami jelas iaitu memperbaiki kedudukan liga dan memburu tempat ke final MFL Challenge Cup,” katanya.
Kini, segala tumpuan terarah kepada sentuhan pertama Torres bersama The Rhinos. Mampukah beliau mencetus kebangkitan segera di Likas? Sabtu ini bakal menjadi penentu awal. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sabah FC