PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan tiga kejohanan utama kebangsaan bagi musim 2026.
Tiga pertandingan yang terlibat ialah Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan dan Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.
Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama yang memberi kesan terhadap kelancaran penganjuran.
Antara sebab yang dikenal pasti termasuk pertindihan kalendar susulan penjajaran semula jadual pertandingan nasional, komitmen padat pasukan serta pemain, selain isu logistik dan infrastruktur yang perlu memenuhi piawaian ditetapkan.
FAM menegaskan langkah itu bukan satu kemunduran terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara, sebaliknya pendekatan strategik bagi memastikan perancangan lebih tersusun dan mampan pada masa depan.
“Ini bukan langkah ke belakang untuk pembangunan futsal dan bola sepak pantai kebangsaan. Sebaliknya ia pendekatan strategik bagi memastikan pelan lebih teratur, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan tersebut.
Badan induk itu turut memaklumkan pihaknya kini sedang menilai semula keseluruhan struktur pertandingan kedua-dua sukan berkenaan bagi memastikan standard kompetitif mampu ditingkatkan ke tahap lebih tinggi, termasuk di pentas antarabangsa.
Keputusan itu dijangka memberi ruang kepada FAM merangka model baharu yang lebih efisien sebelum kejohanan berkenaan kembali dianjurkan pada masa akan datang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM