BURIRAM – Pelumba muda Brazil, Diogo Moreira, melaungkan amaran awal menjelang musim baharu apabila muncul antara rookie paling menyerlah pada sesi Ujian Buriram 2026 di Litar Antarabangsa Chang.
Menunggang jentera LCR Honda, Moreira mencatat masa 1 minit 29.920 saat, hanya 1.252 saat di belakang catatan terpantas keseluruhan dan hampir satu saat lebih pantas berbanding seorang lagi rookie berprofil tinggi, Toprak Razgatlioglu.
Pelumba berusia 21 tahun itu tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas sesi ujian berkenaan.
“Saya sangat gembira! Berbanding semalam hingga pagi ini, kami meningkat banyak. Saya rasa kami hampir bersedia untuk memulakan musim. Kami masih perlu belajar menunggang jentera ini, tetapi kami semakin hampir,” katanya.
Menurut Moreira, peningkatan ketara berlaku hasil pemahaman lebih baik terhadap karakter jentera Honda RC213V, terutama ketika menggunakan tayar lembut yang sering menjadi cabaran buat rookie.
Catatan masa pantas yang dilakukan pada sebelah pagi kekal kompetitif walaupun suhu litar meningkat pada waktu petang, sekali gus membuktikan konsistensinya.
Dalam pada itu, Moreira mengakui gelaran Rookie of the Year menjadi antara sasaran peribadinya musim ini, namun tetap menghormati kemampuan Razgatlioglu yang juga juara dunia.
“Sudah tentu itu salah satu sasaran. Kami berada di landasan yang baik, tetapi Toprak akan bangkit. Dia seorang juara dunia, jadi kita lihat nanti sepanjang musim,” ujarnya.
Moreira kini mengalihkan fokus kepada perlumbaan pembukaan minggu hadapan dan percaya aksi perlumbaan sebenar akan membantunya meningkatkan lagi prestasi, terutama jika berpeluang mengekori pelumba berpengalaman seperti Marc Márquez atau Francesco Bagnaia.
Jika momentum ujian ini diteruskan, tidak mustahil bintang muda Brazil itu mampu mencuri perhatian dengan penamat kelompok 10 terbaik pada penampilan sulungnya musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP