Sabah FA juara Liga Wanita Nasional 2025

CHERAS – Status juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 tetap menjadi milik Sabah FA biarpun impian mereka untuk menamatkan musim tanpa kalah tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 kepada Selangor FC di Stadium KLFA, di sini.

Dalam perlawanan terakhir musim itu, Selangor mengejutkan pasukan dari Borneo berkenaan apabila kapten, Nur Ainsyah Murad, melepaskan rembatan padu seawal minit ke-19 yang menewaskan penjaga gol Sabah sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.

Sabah yang sudah mengesahkan kejuaraan sebelum perlawanan tersebut bangkit mengatur serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-34, namun sepakan percuma kapten mereka, Win Theingi Tun, sekadar menggegar palang gol Selangor.

Bersambung babak kedua, Selangor hampir menggandakan jaringan menerusi sepakan percuma Jang Bojeong pada minit ke-50, namun percubaannya tersasar tipis dari sasaran.

Sabah terus memberi tekanan sehingga ke minit-minit akhir perlawanan. Peluang terbaik hadir pada minit ke-88 apabila Haindee Mosroh melepaskan rembatan berbahaya dari sebelah kanan, tetapi penjaga gol Selangor, Daiyana Wardina Mohd. Rosdi, tampil cemerlang melakukan aksi menyelamat penting.

Wisitan penamat menyaksikan rekod tanpa kalah Sabah berakhir di perlawanan terakhir musim, namun ia tidak menjejaskan kejayaan mereka menjuarai LWN 2025 dengan kutipan 37 mata daripada 14 perlawanan.

Selangor FC pula menamatkan kempen musim ini sebagai naib juara dengan 34 mata, sekali gus menutup saingan liga dengan prestasi memberangsangkan.

Foto kredit - Sabah FA