KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) memberi jaminan sedang menguruskan isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara profesional dan mengikut saluran perundangan.
Dalam satu kenyataan rasmi, pengurusan Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) menjelaskan sekatan itu berpunca daripada tuntutan terdahulu yang kini sedang diselesaikan menerusi pembayaran secara berkala.
Menurut kelab itu, segala tanggungjawab berkaitan perkara berkenaan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur undang-undang bola sepak antarabangsa.
TFC turut memberi perhatian terhadap jendela pendaftaran pemain kedua yang dijadual dibuka pada 5 Januari 2027.
Kelab itu berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara profesional tanpa menjejaskan persiapan pasukan serta perancangan bagi mengharungi saingan Liga Super Malaysia musim ini.
Dalam pada itu, TFCSB menegaskan komitmen untuk terus mengamalkan ketelusan dan tadbir urus yang baik, selain berjanji menyalurkan perkembangan terkini kepada pihak berkepentingan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC
