KELANA JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025–2029 telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi hari ini, dengan FAM menjelaskan keputusan berkenaan dibuat secara sebulat suara atas dasar tanggungjawab organisasi dan bukan dipengaruhi kepentingan peribadi atau kedudukan jawatan.
Menurut kenyataan itu, tindakan drastik berkenaan diambil susulan situasi semasa yang menerima perhatian besar orang ramai, sekali gus menuntut langkah tegas bagi memelihara integriti serta kredibiliti bola sepak negara.
“Ini merupakan satu langkah berhemah dan berprinsip yang diambil berdasarkan keadaan semasa,” menurut kenyataan tersebut.
FAM memaklumkan, peletakan jawatan beramai-ramai itu bertujuan mencapai beberapa objektif penting antaranya melindungi reputasi persatuan, mengekalkan kepercayaan awam, serta mengelakkan sebarang perkembangan lanjut yang boleh memberi kesan negatif terhadap landskap bola sepak Malaysia.
Tambah kenyataan itu, keputusan tersebut juga memberi ruang sepenuhnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menjalankan penilaian secara bebas terhadap aspek tadbir urus dan pentadbiran FAM.
Antara alasan utama yang diketengahkan ialah komitmen untuk menjunjung prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, selain memastikan sebarang pembaharuan dapat dilaksanakan tanpa gangguan atau salah tafsiran.
Walaupun dipilih dengan mandat empat tahun, Jawatankuasa Eksekutif berkenaan mengambil keputusan untuk berundur selepas 11 bulan berkhidmat, sekali gus dianggap sebagai langkah yang jarang berlaku dalam sejarah pentadbiran bola sepak negara.
Dalam pada itu, bekas ahli Exco FAM menegaskan komitmen mereka untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan demi memastikan kestabilan dan pembangunan jangka panjang bola sepak Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM