ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menegaskan aksi menentang Shan United dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN (Shopee Cup) esok sebagai perlawanan paling penting setakat musim ini.
Menurut jurulatih dari Sepanyol itu, perlawanan hari keempat kejohanan berkenaan bukan sekadar aksi peringkat kumpulan biasa, sebaliknya menjadi penentu kepada peluang Harimau Selatan mara ke pusingan kalah mati.
“Esok adalah perlawanan yang sangat penting kerana kami berada pada satu fasa musim di mana kami perlu melangkah setapak ke hadapan untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Muñoz berkata, perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim turut membawa makna besar selepas JDT beraksi di gelanggang lawan dalam tempoh agak panjang sebelum ini.
“Ia penting kerana kami kembali bermain di laman sendiri selepas sekian lama. Suasana pasti lebih baik dan kami akan terus dengan falsafah permainan kami,” katanya.
Beliau turut mengesahkan JDT akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan tiga mata penuh dapat diraih.
“Esok kami akan cuba menurunkan barisan terbaik untuk perlawanan penting ini,” ujarnya.
JDT ketika ini mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam tiga perlawanan terdahulu, sekali gus berada pada kedudukan selesa untuk memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Muñoz menyifatkan perjalanan pasukan setakat ini sebagai positif, khususnya ketika beraksi di laman sendiri.
“Ia satu perkembangan yang baik kerana perlawanan penting yang kami mainkan di tempat sendiri berjaya memberikan mata,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pasukan perlu memperbaiki kelemahan selepas aksi terdahulu di Kemboja, apabila JDT gagal menampilkan prestasi terbaik pada babak pertama.
“Kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama, namun berjaya bangkit pada separuh masa kedua dan menyelamatkan satu mata.”
Muñoz percaya kemenangan ke atas Shan United bakal meletakkan JDT hampir pasti ke pusingan seterusnya.
“Jika kami meraih tiga mata esok, kami sangat hampir untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, JDT menerima suntikan moral apabila tiga tonggak utama kembali pulih daripada kecederaan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan.
Namun Muñoz menjelaskan keputusan sama ada pemain tersebut diturunkan sebagai kesebelasan utama atau simpanan bergantung kepada tahap kecergasan.
“Kami mendapatkan semula pemain penting. Sekarang kami perlu menilai kemampuan mereka, sama ada mereka boleh bermula atau masuk sebagai pemain gantian.”
Muñoz turut menekankan aspek mentaliti pasukan sejak minit pertama hingga wisel penamat.
“Perkara paling penting ialah bagaimana kami memulakan perlawanan, menunjukkan karakter dari awal hingga akhir.”
Beliau juga mengingatkan pemain agar lebih tajam di hadapan gol.
“Apabila peluang hadir, kami perlu menamatkan perlawanan.”
Mengulas kekuatan lawan, Muñoz menyifatkan Shan United sebagai pasukan pantas, bertenaga dan berbahaya menerusi serangan balas.
“Mereka sangat laju, sentiasa berlari dan bertahan dengan baik.”
Justeru, JDT perlu bersabar dalam memecahkan benteng pertahanan lawan dengan pergerakan bola yang pantas dan variasi serangan.
“Kami perlu tenang, menggerakkan bola dari kiri ke kanan, lebih menegak, melakukan percubaan jarak jauh dan penyudah satu sentuhan dalam kotak penalti.”
Dalam masa sama, suasana positif dalam kem latihan turut memberi keyakinan kepada Muñoz.
“Semalam saya lihat pemain sangat gembira dan berada dalam mood yang baik. Itu sesuatu yang positif.”
Dengan tiket kelayakan semakin hampir, pertembungan JDT menentang Shan United dijangka menjadi titik perubahan penting dalam Kumpulan B.
Bagi Muñoz, satu mesej jelas dikirimkan kepada pemainnya fokus, karakter dan kecekapan bakal menentukan kejayaan Harimau Selatan.
“Esok adalah situasi sebenar buat kami. Kami perlu melangkah satu tahap lebih tinggi.” – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST