JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha meningkatkan sistem tadbir urus baik serta memperkasakan budaya integriti di negeri ini.
Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamin berkata, komitmen itu turut menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan kebimbangan bahawa gejala rasuah masih berleluasa seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai moral.
Beliau berkata, usaha pencegahan serta tindakan operasi di negeri ini akan terus diperkasa dan dilaksanakan secara progresif, menyeluruh dan berterusan bagi memastikan gejala rasuah dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, kelmarin.

Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu-isu semasa berkaitan rasuah serta memperkukuh komitmen bersama antara pihak penguatkuasaan dan kepimpinan kerajaan negeri.
Kedua-dua pihak turut menyentuh pelbagai isu berkaitan integriti dan tadbir urus baik di Johor membabitkan cabaran penguatkuasaan serta keperluan memperkasa mekanisme pencegahan rasuah secara menyeluruh.
Sementara itu, Datuk Onn turut menyarankan agar seluruh kakitangan kerajaan negeri sentiasa memelihara integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan meminta atau menerima apa-apa imbuhan yang boleh menjejaskan ketelusan serta imej perkhidmatan awam.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan SPRM