STR Fasa 4 diawalkan, 8.8 juta penerima terima bayaran mulai esok

PUTRAJAYA – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 Fasa 4 akan mula disalurkan esok, iaitu lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan bulan depan, bersempena sambutan Deepavali.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk fasa kali ini, melibatkan 8.8 juta penerima di seluruh negara dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM700 bergantung kepada kategori masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mempercepatkan pembayaran itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan bertekad memastikan bantuan berasaskan limpahan hasil negara dimanfaatkan segenap lapisan rakyat, termasuk golongan isi rumah, warga emas dan bujang berpendapatan rendah.

MOF turut memaklumkan, pembayaran Fasa 4 turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi STR 2025, dengan penyaluran kepada kumpulan tersebut dijadualkan bermula 13 November ini.

Jumlah penerima keseluruhan meningkat kepada 8.8 juta individu dan isi rumah, naik 500,000 berbanding Fasa 1 pada Januari lalu, hasil pelaksanaan dasar baharu kerajaan yang membenarkan permohonan dan rayuan dibuka sepanjang tahun.

Bagi pembayaran kali ini, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara kredit terus ke akaun masing-masing antara 18 hingga 24 Oktober, manakala penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan boleh menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Selasa ini. - DETIK MALAYSIA

Sementara itu, kategori penerima STR Fasa 4 terdiri daripada:

Isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah – antara RM200 hingga RM700 (3.1 juta penerima)

Isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 – antara RM100 hingga RM350 (1 juta penerima)

Warga emas tanpa pasangan – RM150 (1.3 juta penerima)

Bujang – RM150 (3.4 juta penerima)

Foto kredit - FB Anwar Ibrahim