PELABUHAN KLANG - Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang menangkap ikan secara haram di perairan Pelabuhan Klang telah ditahan oleh Agensi, Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Pelabuhan Klang.
“Vesel tanpa nombor pendaftaran itu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong lelaki berusia 47 tahun bersama dua awak-awak berusia 28 dan 50 tahun, kesemua mereka merupakan warganegara Malaysia.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Ketiga-tiga individu bersama vesel telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen.
Muhaimin berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan negeri Selangor bagi
membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di lautdiminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-6606652 bagi tindakan segera. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Maritim Negeri Selangor
