KUALA LUMPUR – Keputusan Universal Music Malaysia menurunkan sebuah muzik video daripada semua platform digital atas faktor sensitiviti masyarakat menerima pujian dan penghargaan.
Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menyifatkannya tindakan itu sebagai langkah penuh integriti serta wajar dicontohi.
Asma' berkata, keputusan tersebut bukan suatu tindakan mudah memandangkan ia melibatkan kos produksi, masa, tenaga serta kerugian yang bukan sedikit.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kumpulan Dolla atas keterbukaan menerima keputusan tersebut dengan hati yang besar, sekali gus membuktikan sikap profesional, matang dan menghormati nilai budaya serta sensitiviti negara.
"Semoga langkah terhormat ini menjadi contoh kepada syarikat produksi dan para artis lain yang menjadi perhatian dan kebimbangan masyarakat," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Asma’ turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Malaysia yang memberi pandangan secara berhemah, serta memainkan peranan mendidik dan menyedarkan pihak industri hiburan mengenai kepentingan menjaga adab serta nilai budaya.
Selain itu, beliau turut memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang dilihat peka dan pantas memberikan perhatian terhadap isu tersebut termasuk meneliti semula garis panduan pakaian artis Muslimah.
Katanya, keputusan yang mengutamakan maruah dan nilai budaya perlu dijadikan panduan untuk membina landskap seni yang lebih bermakna dan dihormati, selari dengan jati diri Malaysia.
“Apabila penerbit, artis, penonton dan pihak berautoriti sama-sama memilih adab sebagai asas, insya-Allah perubahan positif dalam industri seni akan terus berkembang,” katanya. - DETIK MALAYSIA