YALA – Jabatan Pendidikan Wilayah Yala (JPWY) buat julung kalinya dalam sejarah menerima Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah beragama Islam, Dr. Suriya Mardthing.
Perkembangan itu antara perkara yang diketengahkan dalam pertemuan dan perbincangan KHTK serta KRT TK bersama JPWY bagi merangka Garis Panduan Pertandingan Akademik Pendidikan Islam Peringkat Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Yala, Selatan Thailand pada 2027.
Pertemuan yang berlangsung di JPWY, 6 Ogos lalu itu turut membincangkan usaha memperkasakan pendidikan Islam menerusi penganjuran program antarabangsa membabitkan pelajar dari lima wilayah di Selatan Thailand.
JPWY yang merangkumi wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat mempunyai sebanyak 1,880 sekolah dengan 543,967 murid serta 30,954 guru.
Dalam pertemuan itu, JPWY turut menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman serta mendapatkan khidmat nasihat daripada KHTK dalam mengendalikan program Edu-Tourism pada 2027 di Selatan Thailand.
Hasil perbincangan, persetujuan dicapai untuk mengadakan program IMT GT Islamic Olympiad Championship and Young Islamic Leadership Workshop 2027.
Program berkenaan dilihat mampu memperkasakan pendidikan Islam di Selatan Thailand selain memberi peluang kepada pelajar dari lima wilayah berkenaan bersaing dengan peserta dari Malaysia, Kemboja, Brunei dan Indonesia dalam acara Olympiad.
JPWY turut berharap pengalaman KHTK dalam menganjurkan Olympiad di peringkat Asia Tenggara dapat dijadikan panduan serta membantu pihaknya menjayakan program Islamic Olympiad 2027 di Yala.
Susulan itu, KHTK akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama JPWY di Terengganu pada September ini dengan penyertaan Indonesia, Malaysia dan Kemboja yang dijadualkan berlangsung di Homestay Teluk Ketapang. – DETIK MALAYSIA
