IPOH – Sebanyak 1,000 masjid disasarkan menyertai jaringan masjid serantau dalam tempoh awal pelaksanaan Pelan Tindakan Masjid Serantau 1448H hingga 1550H (2026–2126).
Pelan tersebut antara lain mencadangkan penubuhan Sekretariat Tetap Masjid Serantau sebagai pusat penyelarasan, pelaksanaan, komunikasi dan pemantauan keputusan Persidangan Masjid Serantau.
Usaha itu bertujuan menjadikan masjid bukan sekadar pusat ibadah, sebaliknya sebuah institusi yang mampu menggerakkan pembangunan masyarakat merangkumi aspek pendidikan, keluarga, ekonomi, kebajikan, kepimpinan belia, pemerkasaan wanita, kemanusiaan dan pembelaan Al-Aqsa serta Palestin.
Berdasarkan pelan berkenaan, fasa pertama bagi tempoh 2026 hingga 2028 memberi tumpuan kepada pembinaan asas termasuk pelancaran jaringan masjid serantau, penyertaan negara-negara ASEAN, pendaftaran masjid anggota, pembentukan jawatankuasa nasional dan pembangunan pangkalan data masjid.
Selain sasaran 1,000 masjid berjejaring, sebanyak 50 Masjid Model Ummah dan latihan kepada 500 pemimpin belia turut ditetapkan sebagai sasaran awal.
Jaringan tersebut dicadangkan melibatkan 11 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Timor-Leste.
Pelan itu turut menggariskan tujuh agenda utama yang merangkumi jaringan masjid serantau, Al-Aqsa dan Palestin, pembangunan ekonomi masjid, keluarga dan komuniti, belia dan wanita, kemanusiaan serta ilmu, data dan inovasi.
Dalam agenda Al-Aqsa dan Palestin, setiap masjid dalam jaringan digalakkan mempunyai program khusus yang merangkumi pendidikan Al-Aqsa, kesedaran sejarah Palestin, dana solidariti, bantuan kemanusiaan, kempen wakaf dan advokasi.
Bagi memperkukuh ekonomi pula, Mosque Economy Network dicadangkan meliputi wakaf produktif, koperasi masjid, perusahaan sosial, zakat, pembiayaan mikro, ekonomi halal, latihan keusahawanan, pekerjaan belia dan ekonomi digital.
Setiap masjid juga digalakkan mempunyai sekurang-kurangnya satu projek ekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Dalam aspek kemanusiaan, pelan berkenaan mencadangkan penubuhan ASEAN Mosque Humanitarian Response Network bagi membolehkan jaringan masjid bertindak secara bersama ketika berlaku banjir, gempa bumi, konflik, krisis makanan, bencana iklim dan kecemasan kemanusiaan.
Pelan turut menyasarkan penubuhan Regional Mosque Knowledge Hub yang akan memberi tumpuan kepada kajian masjid, pangkalan data, latihan, penerbitan, kajian dasar, pembelajaran digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan masjid.
Bagi tahun 2026 hingga 2027, antara petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan ialah 1,000 masjid berjejaring, 50 Masjid Model Ummah, 500 pemimpin belia dilatih dan penyertaan 11 negara anggota.
Pelan itu turut mencadangkan penubuhan Regional Mosque Solidarity Fund yang merangkumi tiga tabung iaitu Masjid Development Fund, Humanitarian Response Fund dan Al Aqsa Solidarity Fund.
Selain itu, Persidangan Masjid Serantau dicadangkan diteruskan setiap tahun dengan setiap persidangan menghasilkan deklarasi, pelan tindakan, KPI dan laporan tahunan bagi memastikan keputusan yang dibuat dapat diterjemahkan kepada tindakan.
Dokumen berkenaan turut mencadangkan tujuh dokumen utama diluluskan di Ipoh termasuk Ipoh Declaration on Regional Mosques, Regional Mosque Action Plan 1448H–1550H, Charter of the Regional Mosque Network dan penubuhan Sekretariat Tetap Masjid Serantau.
Dalam resolusi penubuhan sekretariat itu, mekanisme berkenaan akan bertanggungjawab menggerakkan jaringan masjid dalam bidang pendidikan, dakwah, pembangunan keluarga, ekonomi, kebajikan, kemanusiaan, kepimpinan belia dan wanita, penyelidikan, media, hubungan antarabangsa serta pembelaan Al-Aqsa dan Palestin.
Pelan tersebut membawa gagasan “Daripada Persidangan kepada Gerakan” dengan matlamat akhir membina kekuatan ummah melalui jaringan masjid yang tersusun, berdaya tahan dan mampu bertindak.
Dokumen itu turut menekankan prinsip “Less declaration, more implementation” sebagai asas pelaksanaan gerakan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
