SHAH ALAM – Pengalaman luas pengendali skuad Indonesia Bawah 20 (B-20), Nova Arianto menjadi antara kelebihan yang boleh memihak kepada Garuda Muda ketika menentang Malaysia B-20 dalam aksi pembukaan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos, hari ini.
Pertembungan di Stadium Nasional New Laos itu turut menjadi medan adu taktikal antara Nova dan pengendali Malaysia, Shukor Adan yang masing-masing mahu memastikan pasukan kendalian mereka membuka kempen dengan keputusan positif.
Pengalaman Nova mengendalikan skuad kebangsaan peringkat umur dilihat lebih luas selepas beliau pernah membimbing Indonesia B-17 pada kempen Piala Asia B-17 sebelum membawa pasukan itu ke Piala Dunia B-17 2024.
Malah, sebahagian besar pemain Indonesia B-20 sudah mengenali pendekatan Nova selepas pernah berada di bawah kendaliannya ketika bersama skuad B-17.
Situasi itu dianggap memberi kelebihan kepada Nova dalam membentuk keserasian dan kefahaman dalam kalangan pemainnya.
Pemerhati bola sepak Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah berkata, pengalaman Nova menjadi antara faktor yang boleh memberikan kelebihan kepada Indonesia menjelang pertembungan tersebut.
“Keberadaan Nova Arianto dan Shukor Adan jadi bahan analisis menarik. Saya menilai jam terbang Nova Arianto di atas Shukor Adan.
“Dia juga mempunyai skuad yang sudah lama dilatihnya sejak Timnas Indonesia U-17. Situasi ini berbeza dengan Shukor Adan,” katanya.
Shukor ada aura legenda
Bagaimanapun, Shukor bukan hadir tanpa kelebihan apabila bekas pemain kebangsaan Malaysia itu memiliki pengalaman sebagai pemimpin ketika bergelar pemain, termasuk pernah menjadi kapten Kuala Lumpur FC.
Shukor yang baru mengendalikan Malaysia B-17 tahun ini kemudiannya diberi kepercayaan mengemudi skuad B-20.
Beliau mengambil alih pasukan itu daripada pengendali dari Sepanyol, Juan Torres Garrido.
Menurut Raja Isa, reputasi Shukor sebagai bekas pemain kebangsaan dan seorang pemimpin di peringkat kelab menjadi modal penting buat pengendali tersebut.
“Shukor Adan legenda Malaysia pada era generasinya. Dia juga seorang pemimpin yang bagus di kelab, antaranya sebagai kapten pasukan Kuala Lumpur FC.
“Jadi, Shukor Adan mempunyai modal peribadi yang bagus,” katanya.
Nova jangan terlalu yakin
Walaupun dilihat mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, Nova tetap diingatkan supaya tidak terlalu yakin menjelang aksi berdepan Malaysia.
Raja Isa berkata, pengalaman yang dimiliki pengendali Indonesia itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, namun ia tidak seharusnya menyebabkan skuad Garuda Muda memandang mudah kemampuan lawan.
“Khasanah ilmu Nova Arianto sangat penting, tetapi dia tidak boleh jemawa.
“Dia juga perlu meminta pemainnya supaya tidak terlalu yakin kerana keadaan itu boleh menyebabkan Timnas Indonesia U-20 leka,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia mempunyai sedikit suntikan keyakinan berdasarkan rekod pertemuan skuad B-17 kedua-dua negara sebelum ini.
Malaysia B-17 tewas 0-3 kepada Indonesia B-17 pada awal Julai lalu, namun berjaya mencatat keputusan seri 1-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi.
Perang urat saraf
Selain pertarungan taktikal, Raja Isa turut menjangkakan aksi Indonesia dan Malaysia akan diserikan dengan perang psikologi antara pemain kedua-dua pasukan.
Beliau tidak menolak kemungkinan pemain Malaysia B-20 cuba mengganggu tumpuan lawan menerusi provokasi.
Justeru, pemain Indonesia B-20 perlu bijak mengawal emosi supaya tidak terperangkap dengan permainan psikologi tersebut.
“Saya menjangkakan pemain Malaysia U-20 akan memprovokasi lawan.
“Jika pemain Timnas Indonesia U-20 terpancing, senario permainan boleh berantakan. Apatah lagi berdasarkan pengalaman saya melatih di Indonesia, pemain sangat mudah emosi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
