KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan besar solidariti Palestin sempena Hari Al Quds Malaysia 2026 akan diadakan pada 13 Mac depan, sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum peserta berarak secara aman ke Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur.
Penyelaras Perhimpunan Hari Al Quds Malaysia 2026, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan tersebut merupakan pendirian tegas rakyat Malaysia dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa serta menuntut keadilan buat rakyat Gaza.
“Perhimpunan ini adalah suara kemanusiaan rakyat Malaysia yang berdiri bersama Palestin, mempertahankan Al Aqsa dan menolak sebarang bentuk peperangan yang terus mengorbankan orang awam tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penganjur mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 10,000 peserta bagi menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman dan penjajahan yang berterusan.
Selain menyuarakan solidariti terhadap Gaza, perhimpunan itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat yang berisiko mencetuskan konflik serantau lebih besar dengan implikasi global.
Menurut beliau, para peserta akan berarak secara aman bagi menyerahkan memorandum yang menggesa kuasa-kuasa dunia supaya menghentikan sokongan terhadap dasar agresif, mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan pertanggungjawaban terhadap jenayah yang berlaku di Gaza.
Perhimpunan itu, katanya, akan dilaksanakan secara aman, berdisiplin dan mematuhi undang-undang negara.
“Keadilan untuk Gaza. Pertahankan Al Aqsa. Hentikan Perang.” – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Farush Khan