KAHERAH – Seramai 65 pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) selamat tiba di Kaherah, Mesir bagi meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar untuk sesi akademik 2026/2027.
Kesemua pelajar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di Kaherah pada 3 September lalu.
Detik keberangkatan pelajar terbabit di KLIA diselubungi suasana penuh emosi apabila masing-masing menerima pelukan dan doa daripada ibu bapa serta ahli keluarga sebelum memulakan perjalanan menuntut ilmu di bumi Mesir.
Tiga pegawai pengiring turut bersama rombongan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran urusan pelajar sepanjang perjalanan.
Mereka ialah Mohamad Hafizi Mohamah Nor dan Noraizad Rosli dari MAIPk serta Aaliah Abdul Aziz dari Jabatan Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (JAIPk).
Setibanya di Kaherah, kesemua pelajar dan pegawai pengiring disambut Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Johar Zainal Abidin.
Urusan ketibaan rombongan dilaporkan berjalan lancar.
MAIPk turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua pelajar berkenaan dan mendoakan agar mereka dipermudahkan sepanjang menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan, mengurniakan kekuatan, mengukuhkan iman serta memberikan kejayaan dalam menimba ilmu.
“Semoga mereka pulang kelak sebagai ilmuwan yang mampu menyumbang dan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” menurut kenyataan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Hamizul Othman
