Aksi jentera lumba pasukan Laluan Rimba 4x4 yang dipacu oleh Nur Izzati Zonkifli(kiri) bergandingan dengan jurupandu arah Muhammad Amir Hakimi Awang.
KUALA NERUS – Pengalaman pernah menaiki podium pada Terengganu 4X4 Merdeka Challenge menjadi pembakar semangat buat pelumba wanita, Nur Izzati Zonkifli untuk mengulangi pencapaian sama pada edisi tahun ini.
Pelumba berusia 28 tahun dari pasukan Laluan Rimba 4X4, Kedah itu tampil sebagai pemandu utama bagi saingan kategori Super Novice Litecore dan Short Wheel Base (SWS), dengan Muhammad Amir Hakimi Awang bertindak selaku jurupandu arah.
Nur Izzati berkata, penglibatannya dalam sukan 4X4 sejak berusia 25 tahun memberinya pengalaman berharga untuk berdepan cabaran, terutama ketika bersaing dalam kelompok pelumba lelaki yang lebih dominan.

“ Saya pernah berputus asa setelah seawal penampilan pertama saya dalam arena perlumbaan 4×4 pada empat tahun lalu di Sik, Kedah di mana ketika itu saya terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kerosakkan teruk pada kereta lumba pasukan.
“Jika tidak kerana ayah saya yang ketika itu juga adalah ‘copilot’ untuk memberi semangat meneruskan perlumbaan, sudah tentu saya tidak berada di sini untuk berlumba,” katanya.
Menurutnya, sokongan keluarga serta pasukan Laluan Rimba 4X4 turut memainkan peranan penting dalam memastikan dia terus aktif dalam perlumbaan, termasuk menyertai kejohanan di seluruh negara dan beberapa saingan di negara jiran.
“Laluan Rimba 4×4 juga banyak memberi ruang dan peluang untuk kami berlumba di seluruh negara malah beberapa kali ke negara jiran. Jujur berkata, tanpa sokongan dan dorongan dari pasukan ini mungkin kami hanya hadir sebagai penonton sahaja,” katanya.

Nur Izzati sebelum ini beraksi di Jempol, Negeri Sembilan pada Julai lalu sebelum kembali ke Kuala Nerus dengan sasaran untuk sekali lagi menempatkan diri dalam kelompok podium.
Bagi merealisasikan sasaran itu, dia bersama pasukan menempuh perjalanan lebih 400 kilometer dari Kodiang, Kedah merentasi Banjaran Titiwangsa untuk menyertai saingan dua hari berkenaan.
Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari sehingga 5 September 2026 menghimpunkan 56 pelumba dari seluruh negara, dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).
