SEPANG – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencuri tumpuan apabila melakar kemenangan sensasi dalam perlumbaan pertama kategori ASB1000 pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Lebih manis, kejayaan itu turut membantu JDT Racing Team dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pasukan ASB1000 musim 2026.
Hafizh yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R menamatkan perlumbaan 14 pusingan sejauh 77.602 kilometer dengan catatan masa 29 minit 36.868 saat.
Pelumba kelahiran Selangor itu tampil dominan sejak awal perlumbaan sebelum merekodkan masa terpantas 2 minit 5.674 saat pada pusingan keempat dengan kelajuan maksimum 290.3 kilometer sejam.
Muhammad Zaqhwan Zaidi daripada Idemitsu Honda Racing Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 6.188 saat di belakang Hafizh.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba SDG HARC-PRO Honda Philippines, Keito Abe, yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 29 minit 45.145 saat, ketinggalan 8.277 saat.
Menariknya, Zaqhwan dan Abe masing-masing merekodkan kelajuan maksimum 293.5 kilometer sejam.
Kemenangan itu membolehkan Hafizh mengutip 25 mata penuh, manakala rakan sepasukannya, Joshua Waters menyumbang empat mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Gabungan mata berkenaan menyaksikan JDT Racing Team mengumpul 320 mata, sekali gus mengesahkan kejuaraan keseluruhan pasukan bagi musim 2026. – DETIK MALAYSIA
Keputusan lima terbaik ASB1000 Pusingan 5, Perlumbaan 1:
- Hafizh Syahrin (JDT Racing Team) – 29:36.868 (25 mata)
- Muhammad Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia) – +6.188 saat (20 mata)
- Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) – +8.277 saat (16 mata)
- Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand) – +9.694 saat (13 mata)
- Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Racing Malaysia) – +19.739 saat (11 mata)
Kredit foto – ARRC
