PUCHONG - Aksi samseng jalan raya sekumpulan penunggang motosikal yang tular selepas mengejar sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran Plaza Tol Puchong berakhir apabila sembilan lelaki ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semua suspek berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Puchong dan Shah Alam, awal pagi tadi.
“Polis turut merampas tiga motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, video tular di media sosial memaparkan beberapa penunggang motosikal mengejar sebuah kereta Myvi di Batu 13, berhampiran Plaza Tol Puchong sehingga menimbulkan ketakutan pengguna jalan raya lain.
Pengadu berusia 52 tahun yang juga pengawal keselamatan membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi selepas kejadian itu. - DETIK MALAYSIA