KUALA LUMPUR – Petinju Muay Thai negara, Rifdean Masdor memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang dimuat naiknya di media sosial baru-baru ini.
Rifdean menerusi kenyataan rasmi berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya dan berjanji akan mengawal emosi dengan lebih baik pada masa akan datang.
Menurutnya, kenyataan terdahulu dibuat ketika dirinya berada dalam keadaan emosi tidak stabil akibat tekanan yang dihadapi.
Bagaimanapun, dia mengakui tekanan emosi bukan alasan untuk membenarkan tindakannya itu.
Sebagai atlet profesional yang mewakili diri sendiri, keluarga, pasukan dan negara, Rifdean berkata, dia sepatutnya menunjukkan kematangan, disiplin serta rasa tanggungjawab lebih tinggi di dalam dan luar gelanggang.
Dia turut memohon maaf sekiranya kenyataan berkenaan menyinggung perasaan, menimbulkan salah faham atau mengecewakan mana-mana pihak, khususnya mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya.
Rifdean yang dikenali sebagai Magic Boy menyifatkan insiden itu sebagai pengajaran bermakna dalam kehidupan dan kariernya serta bertekad memastikan perkara sama tidak berulang.
Dia turut berharap diberikan ruang dan peluang untuk memperbaiki kelemahan diri selain membuktikan dirinya sebagai atlet yang lebih matang, berdisiplin dan profesional.
Rifdean merupakan juara dunia tiga kali kategori bawah 23 tahun dan antara prospek Muay Thai negara yang mendapat perhatian.
Dia sebelum ini memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM408,000) bersama ONE Championship selepas menewaskan petarung Iran, Javad Mozafari menerusi kemenangan kalah mati pada pusingan pertama dalam pertarungan atomweight di The Inner Circle 19 awal tahun ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
